Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TEKNOLOGI PEMINDAHAN PESAKIT KURANGKAN RISIKO SAKIT BELAKANG PENJAGA WARGA EMAS

 saDadsAa

2 Oktober 2023 

Pertengahan September yang lalu, sekumpulan pensyarah dan penyelidik daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menziarahi sebuah pusat jagaan warga emas di salah sebuah negeri di utara Malaysia. Tindakan ini di ambil, setelah dihubungi oleh pengurus pusat jagaan berkenaan iaitu Puan N. Puan N sebelum ini pernah melihat inovasi produk mekanikal “NEAR-1” yang dapat membantu untuk mengangkat dan memindahkan warga emas yang dikongsikan di media sosial oleh rakannya yang juga pengurus pusat jagaan dari negeri yang berlainan. Beliau tertarik dengan alat bantuan yang digunakan untuk memindahkan warga emas atau pesakit dari katil ke kerusi roda, tandas, sofa, kerusi dan ke dalam kereta serta van dengan selamat. Di bawah selian beliau, terdapat seramai lebih kurang 60 orang warga emas, yang mana sebahagiannya terlantar di atas  katil sambil diuruskan oleh 11 orang penjaga.

Menurut portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), terdapat sebanyak 391 buah pusat jagaan warga emas di Malaysia di mana kebanyakan daripadanya adalah terbiar dan sakit terlantar. Kebiasaannya, kerja mengangkat dan mengalihkan warga emas yang lemah fizikal dilakukan secara manual, tanpa sebarang alatan bantuan. Sebagai contohnya, memindahkan warga emas dari katil ke kerusi roda untuk urusan penjagaan kebersihan diri dan tempat, dan begitu juga dari kerusi roda ke dalam kereta untuk temu janji perubatan di klinik-klinik kesihatan. Walaupun ianya penting kepada warga emas berkenaan, namun boleh menimbulkan risiko sakit belakang serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan mereka yang mana kebanyakannya terdiri daripada golongan terbawah (B40). Daripada kajian yang dilakukan, pengendalian secara manual akan menyebabkan daya yang dikenakan pada tulang punggung (L5/S1) melebihi daripada standard yang dibenarkan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH).

WhatsApp Image 2023 10 02 at 11.09.20 AM

Sakit belakang adalah masalah yang sering berlaku di kalangan pekerja kesihatan dan penjaga yang terlibat dalam pengurusan serta pemindahan pesakit serta warga emas yang terlantar. Daripada laporan kajian, risiko kecederaan disebabkan kerja-kerja melibatkan pemindahan pesakit adalah sebanyak 67.9%. Bukti terkini juga menunjukkan bahawa sakit belakang merupakan masalah kesihatan serius dalam kalangan beberapa kumpulan pekerjaan di Malaysia. Sakit belakang kronik bukan sahaja mempengaruhi kualiti hidup tetapi juga menjejaskan kemampuan mereka untuk memberikan rawatan yang berkesan kepada pesakit. Isu ini menunjukkan kepentingan untuk mendapatkan penyelesaian dan intervensi inovatif demi mengurangkan tekanan fizikal yang berkaitan dengan pemindahan pesakit.

Seperti kebanyakan negara lain, Malaysia sedang menuju kepada status negara tua menjelang 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun berada dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara. Seiring bertambahnya populasi rakyat yang berusia, permintaan untuk perkhidmatan kesihatan dan penjagaan jangka panjang untuk individu tua meningkat dengan ketara. Pada masa yang sama, Malaysia juga bergelut dengan peningkatan kadar obesiti dan individu yang berlebihan berat badan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kadar obesiti negara ini adalah tertinggi di Asia Tenggara iaitu sebanyak 15.6 peratus. Maka, kaedah pemindahan pesakit yang efisyen menjadi semakin penting.

WhatsApp Image 2023 10 02 at 11.19.49 AM

WhatsApp Image 2023 10 02 at 11.11.37 AM

Proses pemindahan yang kerap dilakukan boleh mengakibatkan kesan buruk kepada penjaga seperti potensi untuk mengalami sakit pada bahagian belakang, bahu dan leher. Keadaan ini akan lebih parah jika pesakit atau orang di bawah jagaan tersebut mempunyai berat badan yang berlebihan dan obes sambil dipengaruhi oleh faktor usia penjaga yang semakin meningkat. Kecederaan dan kesakitan yang berpanjangan akan menyebabkan penjaga perlu mendapatkan rawatan pemulihan di pusat-pusat kesihatan demi meneruskan kerja hakiki mereka. Justeru itu, masalah kesihatan muskuloskeletal dalam kalangan penjaga adalah satu isu kesihatan yang sangat serius.

Bagi mengatasi masalah ini, kumpulan penyarah dan penyelidik di VibrationLab, PPKMekanik, USM sedang dan telah berusaha menghasilkan pelbagai inovasi, selain daripada NEAR-1 ini, yang bertujuan untuk meminimumkan risiko sakit belakang serta  kecederaan semasa pemindahan pesakit. Inovasi ini akan meningkatkan kualiti pengurusan yang diberikan kepada pesakit dan warga emas. Penyelidikan ini dibantu melalui geran Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) yang melibatkan kerjasama dengan syarikat Freedom Med Int, serta staf di Hospital USM, Kelantan dan Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM Bertam.

Inovasi yang dihasilkan oleh Dr. Mohamad Ikhwan Zaini Ridzwan dan pasukannya ini, secara langsung akan turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan untuk semua pihak, khususnya dari kalangan penjaga-penjaga pesakit serta warga emas di Malaysia.

dRiKHWAN