Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ADAPTOR MESIN RUMPUT, KURANGKAN RISIKO PENYAKIT GETARAN TANGAN DALAM KALANGAN PEKEBUN KECIL RISDA

16 Oktober 2023

6

Pasukan Penyelidik USM Bergambar Bersama-sama Pegawai RISDA Dan Pekebun Kecil Daerah Hulu Perak

Bersama-sama dengan sekumpulan pensyarah daripada TheVibrationLab, Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Universiti Sains Malaysia (USM), saya selaku ketua penyelidik telah mencipta alat pengurangan getaran tangan untuk pengguna mesin rumput yang diberi nama “Universal Suspended Handle Adaptor”. Kajian yang telah dimulakan sejak tahun 2013 ini telah membuahkan hasil apabila terciptanya adaptor ini yang dapat digunapakai oleh pemesin rumput dan para pekebun kecil RISDA. Idea di sebalik inovasi ini bermula apabila para penyelidik daripada TheVibrationLab melihat pemesin rumput di sekitar kawasan USM Kampus Kejuruteraan dan juga sepanjang Lebuhraya yang bekerja untuk memesin rumput sepanjang hari.

1

Adaptor Mesin Rumput Atau Universal Suspended Handle Adaptor Ciptaan Penyelidik USM

5

Penulis Menyerahan Adaptor Mesin Rumput Kepada Wakil Pekebun Kecil RISDA

Dari mata kasar, getaran pada tangan para pemesin rumput ini terlihat agak tinggi di mana apabila ianya berlaku, getaran yang terhasil daripada enjin mesin rumput yang digalas dipindah alih ke pemegang mesin rumput melalui shaf penghubung antara enjin serta pemegang mesin. Kami, selaku penyelidik dari TheVibrationLab telah mengambil inisiatif untuk mengukur getaran pada mesin rumput tersebut. Melalui data yang telah direkodkan, getaran pada pemegang mesin rumput adalah sangat tinggi iaitu sebanyak 11.3 m/s^2, melebihi nilai getaran yang telah ditetapkan oleh Health and Safety Commission (HSC), EU pada tahun 2005 (Hand-arm Vibration Reference Chart). Kebiasaanya, manusia hanya boleh terdedah kepada nilai getaran sebanyak 5 m/s^2 sahaja untuk tempoh masa 8 jam penggunaan mesin. Dengan nilai 11.3 m/s^2 yang telah direkodkan, penggunaannya hanya boleh dilakukan selama 30 minit sahaja untuk sehari. Namun demikian, dalam situasi pekerjaan mereka, para petugas ini menggunakan mesin rumput hampir sepanjang hari dan seterusnya berisiko untuk mendapat penyakit sindrom getaran tangan atau Hand-arm Vibration Syndrome (HAVs).

3

Sesi Demostrasi Pemasangan Adapator Mesin Rumput Oleh Pekebun Kecil RISDA

HAVs merupakan penyakit getaran tangan yang terhasil daripada pendedahan tangan terhadap getaran mesin yang tinggi dalam satu tempoh masa yang lama. Penyakit ini merupakan gabungan vaskular yang dicirikan oleh Penyakit Raynauld Sekunder dan bukan vaskular yang dicirikan oleh Carpal Tunnel Syndrome (CTS). HAVs merupakan penyakit yang menyebabkan perubahan pada reseptor tangan yang akan menyebabkan kebas jari kekal, kelemahan otot, keputihan pada jari (VWF) dan sakit tangan, pergelangan tangan, lengan bawah serta siku. Jika tidak dikawal, ianya akan membawa kepada penyakit yang lebih teruk seperti kehilangan deria rasa pada jari atau kerosakan pada jari tersebut. Statistik yang telah dikeluarkan oleh Malaysia National Labor Force pada tahun 2010, sebanyak lebih kurang 4 juta pekerja di Malaysia terdedah terhadap risiko penyakit getaran tangan. Selain itu, laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menunjukkan terdapat peningkatan bilangan pesakit di bawah kategori penyakit yang disebabkan oleh getaran, dan HAVs merupakan penyakit kedua tertinggi selepas kehilangan deria pendengaran akibat terdedah kepada bunyi bising.

4

Para Pekebun Kecil RISDA Sedang Menggunakan Adaptor Mesin Rumput Inovasi Penyelidik USM

Untuk memastikan kesihatan pekerja yang terdedah kepada penggunaan mesin yang bergetaran tinggi, terdapat keperluan untuk memperkenalkan kaedah kawalan getaran yang berkesan dalam mengurangkan getaran yang dihasilkan daripada mesin (power tools). Salah satu inisiatif serta kaedah kawalan getaran ialah dengan memperkenalkan adaptor mesin rumput oleh para penyelidik daripada TheVibrationLab, USM. Adaptor yang dicipta ini mempunyai ciri-ciri yang unik di mana ianya boleh digunapakai oleh kesemua jenis mesin rumput jenis petrol kerana saiz diameternya yang sama iaitu 25 mm. Selain itu, ianya mudah dipasang di samping alat gantinya seperti getah penyerap getaran yang boleh didapati di kedai-kedai perkakasan dengan harga mampu milik. Hasil kajian menunjukkan bahawa penggunaan adaptor ini dapat mengurangkan getaran pada pemegang mesin rumput sebanyak 76 % dari nilai asal 11.3 m/s^2 kepada 2.69 m/s^2. Pengurangan yang agak ketara di bawah nilai getaran yang ditetapkan oleh HSC, EU. Inovasi ini akan membolehkan pengguna untuk terus menggunakan mesin rumput dalam tempoh masa maksimum 8 jam sehari.

Inovasi penyelidikan ini telah menerima beberapa pengiktirafan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah universiti juga. Antaranya adalah dengan memenangi pingat emas di Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX), penerbitan jurnal dan juga beberapa geran penyelidikan seperti Projek Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM). Produk ini juga telah dipasarkan dengan harga RM35 sebuah. Nilai harga yang berpatutan dan boleh dimiliki oleh mereka yang mempunyai mesin rumput. Tidak terhenti di situ, USM dengan kerjasama pihak Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Negeri Perak telah mengambil inisiatif untuk meluaskan penerima manfaat adaptor ini kepada pekebun kecil mereka di tiga daerah iaitu Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Taiping. Dengan dana dari geran Malaysian Social Innovation (MySI), 300 unit adaptor juga telah diserahkan kepada para pekebun kecil di ketiga-tiga daerah tersebut. Adaptor ini akan membantu para pekebun kecil untuk menyelenggara kebun getah mereka dengan lebih baik di mana mesin rumput dapat digunakan dengan lebih selesa. Selain daripada itu, mereka juga tidak akan terdedah kepada getaran mesin rumput yang tinggi sekaligus menghidari risiko penyakit getaran tangan atau HAVs. Dana yang diberikan oleh BJIM USM turut membolehkan 50 orang pekebun kecil RISDA dari Negeri Perlis untuk menerima inovasi yang sama pada tahun 2023. Pengiktirafan serta kejayaan di sebalik inovasi ini adalah selari dengan hasrat universiti dalam memperkasakan agenda kelestarian terutamanya dalam SDG 3 on Good Health dan Well-being kepada golongan masyarakat dan komuniti seperti pekebun kecil RISDA terutamanya.

Dr Zhafran