Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

“GRAND GALA DINNER” RAI INDUSTRI & PELAJAR

CFD 2498

PULAU PINANG, 20 Mac 2015 – Majlis “Grand Gala Dinner”  rai pihak industri dan pelajar yang terlibat dalam program Career Fair di Hotel Eastin, Bayan Lepas, baru-baru ini.

Menurut Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato’ Dr. Omar Osman, program Career Fair adalah merupakan satu platform yang kukuh untuk kesinambungan graduan USM menjalani masa depan dengan pihak industri yang berpotensi.

Tambah beliau, ia menyediakan laluan kerjaya yang jelas kepada para pelajar yang bercita-cita dan USM sememangnya proaktif dalam mengukuhkan bakat pelajar serta meningkatkan peluang pekerjaan kepada graduan dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

CFG 2385

“Oleh itu, input yang berguna daripada industri amat dialu-alukan dalam mencari cara terbaik untuk memperkasakan bakat masa depan serta minda global”, ujar Omar dalam ucapan aluan.

“USM juga telah mengenal pasti beberapa perkara yang menjadi kekuatan teras pelajar dalam akademik, tetapi ia akan ditambah baik dengan meningkatkan keupayaan pelajar dalam tiga aspek lain termasuk kepimpinan, kemahiran komunikasi dan hubungan antarabangsa serta industri”, ujarnya lagi.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 18 Mac lalu, telah berjaya melibatkan sebanyak 69 buah industri dan sebahagiannya dibawa masuk oleh Japanese Chamber of Trade and Industri Malaysia (JACTIM).

CFD 2458

Semua industri yang menyertai program ini diberi cenderamata sebagai tanda penghargaan atas sokongan dan komitmen yang ditunjukkan.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat), Prof. Dato’ Dr. See Ching Mey, Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar), Prof. Dr. Adnan Hussain, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Prof. Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, wakil JACTIM, Encik Zulkifly Abdul Rahman dan wakil dari Robert Bosch selaku penyumbang terbesar pada kali ini iaitu Mr. Lothar Mergili dan Dr. Lars Kabatnik.                                     

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli