Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PPKEE TERIMA LAWATAN PELAJAR SMTAS

SMT Alor Setar 7799

NIBONG TEBAL, 8 April 2015 – Seramai  36 orang pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Alor Setar Kedah (SMTAS), menyertai lawatan sambil belajar ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik disini hari ini.

Menurut guru pengiring, Puan Norlela Abdullah, 49, lawatan itu bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tingkatan lima mengenai kursus dan kaedah pembelajaran di universiti disamping melihat suasana sebenar kehidupan sebagai mahasiswa.

SMT Alor Setar 7791

“Ini merupakan lawatan kali pertama yang memberikan manfaat kepada murid-murid yang memang mengambil bidang elektrik dan mekatronik di sekolah kami," katanya ketika ditemui selepas lawatan itu.  

“Bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik di USM sememangnya menjadi pilihan utama pelajar-pelajar ini dan saya secara individu sangat menggalakkan mereka untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti bertaraf APEX ini”, katanya lagi.  

SMT Alor Setar 7814

Rombongan pelajar yang tiba di Kampus Kejuruteraan kira-kira 2.30 petang itu disambut mesra oleh pensyarah dan pegawai pusat pengajian tersebut. Mereka diberi penerangan ringkas mengenai program akademik yang ditawarkan di Kampus Kejuruteraan seterusnya dibawa ke lawatan makmal.

Dalam temubual dengan Ketua Kelab Kejuruteraan Elektrik sekolah, Muhamad Nur Furqan Rahim, 17, menyatakan kegembiraannya kerana dapat bersama-sama dalam lawatan disamping mendapat pendedahan lebih dekat mengenai peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM).

SMT Alor Setar 7821

“Dengan taklimat yang disampaikan, kami lebih faham mengenai syarat kemasukan dan persediaan yang perlu dibuat sebelum memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran diperingkat yang lebih tinggi”, kata Nur Furqan.

Taklimat telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pendaftar, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Cik Rosni Hasan dan dibantu oleh beberapa Penolong Jurutera yang bertugas ketika itu.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli