Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NAIK TARAF PUSAT ISLAM KEJURUTERAAN DISYUKURI

pusat islam 1516

NIBONG TEBAL, 15 Jun 2015 – Naik taraf Pusat Islam Kampus Kejuruteraan melibatkan pembinaan tempat memasak khas iaitu Anjung Kulinari dan pertukaran karpet baharu di ruang solat dengan kos sebanyak RM354,000 amat disyukuri warga kampus.

Menurut Ketua Unit Pusat Islam Kejuruteraan, Ustaz Mohammad Shukri Osman berkata naik taraf tersebut merupakan perkembangan yang baik dari segi pembangunan fizikal.

pusat islam 1472

“Saya berpendapat bahawa kita sudah cemerlang dari segi pembangunan dengan naik taraf tersebut, cuma kita perlu seimbangkan antara keperluan fizikal dan insani”, kata Mohammad Shukri sekembali memulakan tugas di Pusat Islam Kejuruteraan bermula 15 Mei yang lalu setelah lebih empat tahun ditukarkan ke Institut Pengajian Pergigian Tinggi Termaju (IPPT), Bertam.

pusat islam 1526

“Saya yakin bahawa dengan hubungan kekeluargaan dan ukhwah yang baik antara warga kampus dapat menambah keceriaan kampus ini”, katanya lagi.

Tegas beliau, hubungan yang baik antara manusia dengan manusia merupakan salah satu faktor yang dapat memberi keseimbangan yang dimaksudkan beliau.

pusat islam 1477

Menurut beliau lagi, program-program kerohanian dan keilmuan di Kampus Kejuruteraan yang dilaksanakan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari warga kampus dan masyarakat sekitar.

Antara program yang dijalankan ialah jamuan ukwah yang diadakan selepas solat asar pada setiap hari rabu dengan memasak hidangan tersebut secara bergotong-royong.

Katanya yang juga dikenali dengan panggilan “Cuie”, semua bahan-bahan masakan tersebut adalah hasil sumbangan rakan-rakan warga kampus.

pusat islam 1550

Tambah Mohammad Shukri, program baru yang turut mendapat sambutan adalah “Program Santai Pagi Peknga Bersama Ustaz” yang diadakan setiap pagi pada hari Rabu di Kafeteria “New Born” bersebelahan dengan pintu kedua kampus.

Katanya, program yang berkonsep santai itu mirip program Tanyalah Ustaz di TV9 dan akan dijadikan program mingguan serta rakaman akan dibuat untuk dikongsi bersama melalui medan U-Channel yang disediakan oleh Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT) dengan kerjasama Pejabat Pengarah.

pusat islam 1462

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Kampus Kejuruteraan, Mohd Mohsin Sirun berkata, program lain yang turut mendapat sambutan sebelum ini iaitu kem eksplorasi insani untuk anak-anak staf Universiti Sains Malaysia turut akan diujudkan semula.

“Kita mempunyai kemudahan yang mencukupi untuk laksanakan program eksplorasi ini, cuma kita perlu bina semula kumpulan penggerak program yang bertujuan untuk memberi motivasi kepada anak-anak kita di sini”, kata Mohsin.

pusat islam 1523

Pusat Islam turut menyediakan bilik Raudhah Muslimah di bahagian belakang ruang solat yang bukan sahaja menjadi tempat beristirahat malah merupakan pusat sehenti kepada jemaah muslimah.


Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin