Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

VIDEO KORPORAT KAMPUS KEJURUTERAAN DIIKTIRAF

IPPT

KEPALA BATAS, 26 Januari 2016 -  Usaha gigih sekumpulan staf Kampus Kejuruteraan dalam menyediakan video korporat kampus berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan kualiti sempena Konvensyen Kualiti USM 2015 yang berlangsung di Dewan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Video berdurasi selama 4 minit 44 saat itu merupakan hasil kerja sepenuhnya staf dalaman Kampus Kejuruteraan yang diketuai oleh Pengarah, Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Prof. Dr. Mohd Zaid Abdullah selaku penasihat dan dibimbing oleh Dr. Aftanasar Md. Shahar selaku Koordinator.

Turut mendapat perhatian juri adalah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam yang memenangi tempat pertama bagi kategori Laman Web dan Perpustakaan Kampus Kejuruteraan bagi kategori 5S.

Konvensyen Kualiti USM 2015 ini memberikan pengiktirafan kepada semua warga USM yang memberi perkhidmatan dalam pelbagai bidang melibatkan kualiti.

Seramai 400 hadir ke Konvensyen pada kali ini yang diadakan bersekali dengan Perutusan Tahunan Naib Canselor 2016 bagi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof. Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Pengarah HUSM Prof. Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah IPPT Dr. Norehan Mokhtar, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Tuan Haji Ab. Rahim Yusoff, Ketua Pegawai Eksekutif Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd dan wakil dari TUV Rheinland Malaysia Sdn Bhd.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto Ihsan: Norazreen Razak