Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

NEGARA PERLU LEBIH RAMAI JURUTERA MENJELANG 2020

Hari Terbuka DSC4873

PULAU PINANG, 9 April 2016 – Kepentingan kejuruteraan dalam menyelesaikan masalah negara banyak mempengaruhi kesejahteraan rakyat, kualiti kehidupan, daya saing, kemampanan seterusnya masa hadapan negara kita.

Menurut Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menyatakan bahawa bidang kejuruteraan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan seharian.

Hari Terbuka DSC4968

“Setiap apa yang ada di sekeliling kita pasti berkait rapat dengan kejuruteraan”, kata Ahmad Farhan kepada wakil-wakil sekolah terdiri dalam kalangan kaunselor dan ibu bapa dalam taklimat beliau di Hari Terbuka USM 2016 di sini hari ini.

“Teknologi merupakan alternatif dalam membantu kehidupan kita bukan sahaja dari yang sedia ada kepada yang lebih murah dan lebih baik, malah dapat juga menyelesaikan masalah persekitaran”, jelasnya lagi.

Tambah beliau, peranan bidang kejuruteraan turut membantu manusia bersedia dengan musibah dan bencana seterusnya masa hadapan dan keupayaan negara kita banyak bergantung kepada bidang kejuruteraan.

Hari Terbuka DSC4944

“Kita perlukan jurutera kita sendiri di kalangan rakyat kita untuk membangunkan negara dan meningkatkan kulaiti kehidupan yang tinggi menjelang 2020 nanti”, katanya.

Ahmad Farhan yang juga Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam berharap kaunselor sekolah dan juga ibu bapa yang hadir dapat membantu pelajar-pelajar menerangkan dengan lebih jelas dan mendalam mengenai peluang pengajian yang ditawarkan di USM khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Pada masa ini, terdapat enam Pusat Pengajian Kejuruteraan di Kampus Kejuruteraan,USM dan menawarkan 11 program ijazah sarjana muda kepujian yang diktiraf oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Malaysian Qualifications Agency (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Washington Accord.

Hari Terbuka DSC4947

Turut ditawarkan di sini adalah program pasca siswazah USM secara kerja kursus dan mod campuran iaitu Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Elektronik, Kejuruteraan Alam Sekitar, Kejuruteraan Bahan, Kejuruteraan Mikroelektronik dan Kejuruteraan Struktur.

Di samping itu, dengan adanya pakar-pakar akademik dan makmal yang mantap, kampus ini menjadi pilihan pelajar menyambung pengajian mereka di peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah dalam mod penyelidikan dalam banyak bidang kepakaran secara sambilan dan sepenuh masa.

Sebelum itu, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang merasmikan hari terbuka yang buat julung kalinya diadakan turut berharap program tersebut diteruskan pada setiap tahun supaya dapat memberi maklumat dan menarik lebih ramai masyarakat di sekitar Pulau Pinang malah di seluruh negara untuk mendekati USM.

Hari Terbuka 0122j Mohd Fairus Md. Isa

Program yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini menyajikan pelbagai aktiviti antaranya peluang bertemu dengan wakil pusat-pusat pengajian di ruang pameran dan turut ditawarkan yuran permohonan percuma kepada calon yang memohon khas untuk dua hari ini sahaja.

Selain itu pemeriksaan kesihatan dan aktiviti derma darah juga disediakan untuk para pengunjung. Turut berlangsung ialah pameran kenderaan tenaga solar, gerai-gerai yang diusahakan oleh mahasiswa dan juga perkhidmatan 'Dental Mobile Bus' dari Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), USM.

Yang turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Penolong-Penolong Naib Canselor, Pendaftar dan Dekan-Dekan Pusat Pengajian, USM.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Muhammad Sarif Mhd. Rapiai & Mohd Fairus Md. Isa