Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PALAPES PERLU JADI CONTOH KEPADA MASYARAKAT

Palapes DSC5075

NIBONG TEBAL, 11 April 2016 – PALAPES perlu menjadi contoh kepada masyarakat dan terus menabur bakti kepada negara, kata Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein.

Beliau berkata, masyarakat melihat pelajar Universiti ini dari sudut yang berbeza apatah lagi bagi mereka yang menceburi pasukan beruniform khususnya ketenteraan.

Palapes DSC5024

“Universiti mengharapkan supaya apa sahaja yang dilakukan dan di mana sahaja saudara saudari berada, anda akan menjulang nama USM”, kata Adnan ketika memberi ucapan Majlis Malam Akrab dan Penutupan Latihan Lanjutan, Pegawai Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) di sini malam tadi.

Leftenan Kolonel (Kehormat), PSSTUDM itu turut menyeru supaya mahasiswa USM sentiasa memberi yang terbaik kepada organisasi yang diceburi seterusnya kembali ke Universiti menabur bakti kepada mahasiswa yang masih baharu dan memerlukan tunjuk ajar serta bimbingan.

Tambah Adnan lagi, pelajar-pelajar yang masih baharu perlu mengambil peluang selama empat tahun berada di Universiti untuk menimba sebanyak mana ilmu dan pengalaman yang sangat berharga yang tidak boleh diperolehi di tempat lain.

Palapes DSC4998

“Masa belajar di Universiti ini adalah tempoh yang cukup indah dan gunakanlah sepenuhnya untuk merasai segala aspek kehidupan yang ada di sini”, kata alumni Universiti Kebangasaan Malaysia (UKM) itu.

Tegasnya, hanya dengan didikan sempurna dan disiplin yang kuat dapat menjadikan kita insan yang lebih baik dan cemerlang.

“Penglibatan dalam PALAPES bukan hanya untuk menamatkan latihan dan mendapat pentauliahan tetapi lebih dari itu untuk cemerlang dalam akademik”, katanya.

Palapes DSC5034

Beliau yang ditemani isteri, Datin Kamaliah Siarap, turut menghiburkan hadirin dengan mendendangkan lagu Bunyi Gitar yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Seramai 112 pegawai kadet PALAPES udara telah berjaya menamatkan latihan lanjutan selama tujuh hari bermula 4 April 2016 yang lalu dengan pengisian latihan antaranya sukan rakyat, compass marching, kawad senjata, kawad pedang, kawad kaki, ujian senjata, explorace, malam jalan lasak, repealing dan mendaki gunung.

Palapes DSC4987

Yang hadir sama dalam majlis itu ialah Penyelaras, Pusat Rancangan Ko-Kurikulum, Mejar (Kehormat) Dr. Mohd Salman Abu Mansor PSSTUDM, Pengerusi Rancangan PALAPES, USM, Kapten Dr. Hazizan Mohd Hashim, Ajutan Pengkalan, Butterworth, Kapten Raja Zul Raja Hassan dan Ajutan PALAPES Udara, USM, Leftenan Angelin P. Saibun Sambion.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin