Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PPSL SEDIA GALAS TANGGUNGJAWAB

PPSL 02

NIBONG TEBAL, 25 Ogos 2016 – Penolong Naib Canselor yang juga Pengarah, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang terpilih sebagai Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) bagi Sidang Akademik 2016/2017.

Beliau juga mengatakan bahawa PPSL perlu menjadi duta kepada Universiti dari segi membantu pelajar-pelajar baharu ke kampus dan memberi info serta fakta yang benar kepada mereka.  

“Oleh itu, saya berharap saudara saudari dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik sempena menyambut kedatangan pelajar baharu bermula pada 28 Ogos 2016”, katanya dalam perjumpaan bersama mereka di sini malam tadi.

Beliau juga menekankan bahawa sifat patriotisme harus diterapkan dalam hati setiap pelajar yang akan datang menjadi sebahagian dari keluarga USM.

PPSL 01

Tegasnya, isu-isu perkauman yang sensitif harus dielakkan dan hanya fokus untuk menyatukan pelajar-pelajar baharu yang berbilang kaum malah ada yang akan datang dari luar negara.  

Beliau turut mengajak semua tenaga penggerak supaya mengimbau semula kenangan ketika hari pertama mula menjejakkan kaki ke kampus ini seterusnya menyeru supaya mereka dapat memberikan khidmat sebaik mungkin kepada adik-adik pelajar baharu yang sudah pasti akan hadir bersama ibu bapa dan keluarga.

“Saya berharap, semua tenaga penggerak dan staf yang terlibat dapat memberi kerjasama sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah ataupun sebarang kemusykilan yang berbangkit semasa dan selepas hari pendaftaran nanti”, tambah Ahmad Farhan.

Beliau turut menasihatkan supaya semua anggota PPSL perlu bersabar dan bekerja dalam satu pasukan demi memastikan program sambutan pelajar baharu pada kali ini berjalan lancar.

PPSL 03

Katanya, “jika timbul sebarang masalah daripada kalangan pelajar baharu, maka sampaikan kepada pihak Universiti segera”.

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Purawin Subramaniam, 21, mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti di atas mandat yang telah diberikan kepada beliau dan rakan-rakannya.
“Kami berjanji akan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan akan menjaga imej Universiti seterusnya menekankan sifat patriotisme dalam diri adik-adik pelajar baharu nanti”.

“Kami juga sudah bersedia menyambut kedatangan pelajar baharu pada tahun ini dengan beberapa program yang telah disusun yang pasti menyeronokkan seterusnya akan menjadi memori indah dalam hidup mereka berbanding tahun-tahun sebelumnya”, kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa itu.

K

PPSL 06

ampus Kejuruteraan dijangka akan menerima sekitar 550 pelajar baharu bagi Sidang Akademik 2016/2017.
Perlaksanaan program ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai latar belakang universiti seterusnya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran sebelum mereka memulakan kehidupan sebagai mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM).

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Nur Akmar Idris