Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

“JADI CEMERLANG DALAM APA JUA YANG DICEBURI” KATA NC

penutup program pimpin siswa lestari DSC1373

NIBONG TEBAL, 3 September 2016 – “Cuba jadi cemerlang dalam apa jua yang diceburi, dalam akademik mahupun pertandingan inovasi atau sukan sama ada diperingkat nasional atau antarabangsa”, kata Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam ucapan perasmian penutup program pimpin siswa lestari, sidang akademik 2016/2017, Kampus Kejuruteraan.

Omar dalam ucapan ringkasnya menyeru supaya semua pelajar baharu seramai kira-kira 501 orang yang mendaftar pada sidang akademik kali ini, akan menjadi jurutera yang hebat, terkenal dan ternama dengan memiliki ijazah yang baik dan tinggi nilainya.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1432

Beliau turut memberikan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan begitu baik sekali dalam menjayakan program tersebut di Kampus Kejuruteraan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dekan-Dekan, Timbalan-Timbalan Dekan, pelajar dan jabatan-jabatan lain yang terlibat dalam memastikan kelancaran proses kemasukan pelajar baharu di sini”, katanya.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1360

Sementara itu, menurut Pengarah Program, Purawin Subramaniam, 21, berkata tujuan utama majlis makan malam dan majlis penutup itu bukan sahaja untuk meraikan kedatangan pelajar baharu malah untuk mengukuhkan keharmonian pelajar yang berbilang bangsa dan kaum seiring dengan kehendak negara dan Perdana Menteri Malaysia, Y.A.B Dato’ Sri Mohd  Najib Tun Hj. Abdul Razak.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1395

Katanya, tema unity dipilih sebagai tema pada malam itu juga adalah untuk menerapkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa di kampus.

“Saya mewakili PPSL pada tahun ini, mengucapkan tahniah dan syabas kepada mahasiswa dan mahasiswi baharu yang telah memilih Universiti Sains Malaysia dalam meneruskan pengajian peringkat tinggi”, kata pelajar tahun tiga, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa itu.

Tambahnya lagi, USM merupakan satu-satunya Universiti berstatus APEX dan menyeru supaya pelajar baharu dapat menggunakan peluang yang ada untuk cemerlang dalam akademik dan kemahiran insaniah.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1367

Dalam majlis yang sama, pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Rahulraj Singh, 19, berkata beliau yang mewakili pelajar baharu berasa amat bersyukur dan sedar bahawa mereka adalah merupakan anak juang Universiti yang bakal mencorak dan mewarnai muka USM dari segi akademik dan bukan akademik.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1488

“Saya mewakili siswa-siswi sidang baharu berharap agar kita dapat bersama-sama berusaha gigih untuk menjadi modal insan yang menyeluruh supaya dapat menaikkan taraf USM di peringkat global dan glokal walaupun hanya merupakan satu titik yang amat kecil di peta Malaysia”, kata anak muda berasal dari Kuala Lumpur ini.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1388

Hadir sama isteri Omar, Datin Noraizan Jamaludin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan isteri, Pendaftar, Profesor Dato' Dr. Abd. Aziz Tajuddin, Penolong Naib Canselor/Pengarah, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Bendahari, Dr. Rohayati Mohd. Isa.

penutup program pimpin siswa lestari DSC1415

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin