Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MPS BERJALAN LANCAR DI KAMPUS KEJURUTERAAN

MPS DSC2762

NIBONG TEBAL, 13 Oktober 2016 – Majlis Pemilihan Siswa (MPS) sesi 2016/2017 yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Oktober 2016  bagi merebut kerusi Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjalan lancar dengan proses pemilihan undi yang berlangsung di sini hari ini.

Penolong Naib Canselor yang juga Pengarah Kampus, berkata apa yang penting dalam Majlis Pemilihan Siswa adalah kerjasama dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh calon yang bertanding.

“Ini adalah budaya demokrasi yang pihak universiti ingin tanam dalam diri setiap calon dan seluruh mahasiswa terutamanya bagi Kampus Kejuruteraan”, katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada mantan MPP yang bekerja keras dalam memastikan perjalanan proses pencalonan dan pengundian berlangsung dalam suasana yang harmoni dan baik.

MPS DSC2680

Turut menerima tepukan dan penghargaan khas daripada Pengarah Kampus yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam adalah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Jabatan Keselamatan, petugas-petugas khas yang dilantik dan seluruh warga kampus yang terlibat.

“Saya yakin, calon-calon yang dipilih ini, mampu menggalas tugas yang diamanahkan dan dapat bergerak selari dengan aspirasi universiti yang bukan sahaja untuk memastikan pelajar-pelajar USM berjaya dengan cemerlang dalam akademik malah setiap bidang yang diceburi”, tambahnya.

Tegasnya, beliau akan berjumpa dengan semua pemimpin-pemimpin pelajar yang baharu dilantik ini dalam masa terdekat bagi merangka strategi dan membincangkan isu berbangkit demi memastikan keperluan dan kesejahteran pelajar terjamin.

Menurut pemenang kerusi konstituensi umum, Ahmad Nabil Mohd Nizom, pelajar tahun dua, Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa menyifatkan kemenangan beliau merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama dan setiap perkara yang dilakukan oleh pemimpin pelajar sepatutnya dipandang relevan dalam jangka masa panjang.

MPS DSC2684

“Impian saya sejak dari mula sehingga tamat proses pemilihan ini adalah untuk memastikan mahasiswa diberikan hak sama rata tanpa mengira kaum, agama dan ideologi masing-masing”, katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan.

“Saya memang berbangga dengan kemenangan ini, tetapi bukan disebabkan dinaikkan dimata orang sebaliknya dipilih oleh Allah SWT dengan membawa amanah sebagai ujian kepada hambanya”, tambahnya lagi.

Sementara itu, pemenang konstituensi Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa yang juga pelajar tahun dua, Chan Ze Yu pula menyifatkan kemenangan beliau bukan sekadar kebanggaan malah ia merupakan suatu perjalanan yang tidak mudah dan memerlukan kesungguhan dalam merealisasikan manifesto yang dibawa.

“Bagi saya, perkara pertama yang perlu direalisasikan adalah tiga manifesto yang dijanjikan untuk dicapai demi kualiti dan pencapaian Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa terjamin”, jelasnya.

Menurutnya, tiga manifesto yang dibawa adalah kemudahan, kerohanian dan kerjaya tanpa mengira persepsi yang berbeza untuk menaikkan taraf Pusat Pengajian khususnya dan Universiti amnya.  

MPS DSC2711

“Ini merupakan pengalaman yang tidak diperolehi oleh orang lain dan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan persediaan mental dan fizikal yang mantap”, katanya lagi.

Turut bersetuju dan bersependapat dengan Chan adalah pemenang konstituensi Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Mohd Hafiz Abd Halim berkata, perkara yang penting perlu dilaksanakan selepas kemenangan ini adalah untuk meneruskan dan memastikan setiap manifesto yang dibawa berjaya dilaksanakan demi kepentingan pelajar.

“Saya sangat teruja dan mengucapkan tahniah kepada pengurusan Universiti yang telah memperkenalkan sistem baharu iaitu e-pilih bagi proses pemilihan tahun ini yang saya kira mempunyai tahap ketelusan yang tinggi, tepat, cepat dan berkesan”, katanya.

Majlis Pemilihan Siswa pada tahun ini memperlihatkan sebanyak 76.66% pelajar keluar mengundi calon pilihan mereka melalui sistem ini dengan menyaksikan pertandingan satu kerusi konstituensi umum, enam konstituensi pusat pengajian dan satu kerusi Institut Pengajian Siswazah (IPS) dengan 19.25%.

MPS DSC2722

Proses pengundian turut dijalan secara serentak di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan termasuk Kampus Belgaum, India.

Keputusan Penuh Majlis Pemilihan Siswa Kampus Kejuruteraan (USM) 2016/2017:

KONSTITUENSI UMUM

  • Ahmad Nabil Bin Mohd Nizom (PPK Aero) - 899 undi
  • Muhammad Aadam Bin Abdul Latif (PPK Aero) - 763 undi

KONSTITUENSI PUSAT PENGAJIAN

•    PPK AERO
      Chan Ze Yu  - 101 undi
      Mohamad Rukaini Bin Mazlan - 48 undi

•    PPK AWAM
      Eiman Hakim Muhammad Razali - 117 undi
      Muhammad Khuzaimi Bin Aziz - 133 undi  

•    PPK BSM
      Khairul Syazwan Bin Pelawang - 214 undi
      Muhammad Hakimi Bin Ruzlan - 160 undi

•    PPK EE
      Mohd Hafiz Bin Abd Halim - 211 undi
      Siti Aminah Binti Ahmad Basir - 172 undi
        
•    PPK KIMIA
      Surcharen Liew Chun Lee - Menang Tanpa Bertanding

•    PPK MEKANIK
      Muhamad Syaiful Akmal Bin Abd Aziz - Menang Tanpa Bertanding

•    IPS
      Alvi Isra’ Bin Suhali @ Suhaili (PPK Awam) - 91 undi
      Koo Yeong Chin (PPK E&E) - 67 undi

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin