Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KARNIVAL JOM MASUK IPT – ZON UTARA 2017

Program tahunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) kembali untuk kali yang ke 13 melalui penjenamaan semula dari Jom Masuk U kepada Jom Masuk IPT pada tahun 2017 ini.

 

Karnival akan berlangsung pada 4 dan 5 Mac 2017 di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia (USM) mewakili zon utara dan tengah, merangkumi bahagian Utara Perak, Pulau Pinang dan sebahagian dari daerah di Kedah yang berdekatan.

Perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang juga merupakan alumni USM, Dato’ Seri Idris bin Jusoh di Universiti Malaysia Kelantan, mewakili zon timur sebagai zon pembukaan pada 11 dan 12 Februari akan datang.

Program di USM ini kelak akan dijalankan serentak dengan tarikh permohonan online UPU dengan jumlah kaunter yang akan terlibat adalah sebanyak 150 kaunter yang turut sama melibatkan Pusat Pengajian di USM termasuklah Pusat Pengajian dari Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

Disamping itu, program turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti seperti Kuiz Jom Masuk IPT, Pameran Pendidikan, Program Soaring Upwards, Pemeriksaan Kesihatan, Kempen Derma Darah, Keusahawanan Pelajar serta Program Bersama Pusat Pengajian bertempat di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Pelajar, ibu bapa, penuntut universiti awam (UA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta orang awam dijemput hadir untuk membolehkan sebarang kemusykilan yang berkaitan disalurkan melalui medium yang tepat.


Teks: Siti Faizah Abd Halim