Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

IPT BERPERANAN PENTING DI PENTAS GLOBAL

EAM 6717

USM, PULAU PINANG, 4 Mac 2017 – Institut Pengajian Tinggi (IPT) memainkan peranan yang penting dalam penyedian landasan ke arah meningkatkan daya saing negara di peringkat global menerusi penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti.

Berikut seperti dinyatakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Nik Ali Mat Yunus yang mewakili Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd Nur pada perasmian Karnival Pendidikan Tinggi Negara 2017 Zon Utara hari ini.

Artikel 2

Karnival yang dijalankan selama dua hari di Universiti Sains Malaysia (USM) bermula 4 dan 5 Mac ini disertai oleh 20 Universiti Awam, 47 Universiti Swasta dan 43 Agensi turut menjadi pusat sehenti untuk pelajar lepasan SPM, STPM, Diploma, Asasi, Matrikulasi dalam memperolehi maklumat berkaitan secara lebih terperinci dan bermanfaat.

Artikel 1

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyatakan harapan beliau agar karnival ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, guru-guru, ibubapa dan dan semua yang hadir.

“Saya juga yakin usaha dan kerjasama yang berterusan antara KPT, Universiti Awam dan Universiti Swasta seperti ini akan melahirkan bakat yang berilmu, berkemahiran, berintegriti, beretika tinggi, berkualiti yang mampu memangkin kepada pembangunan negara,” tambah Asma.

Antara acara lain yang turut sama memeriahkan lagi karnival kali ini adalah seperti Career Talk, Pameran Kesihatan dan Pergigian, Pemeriksaan Kesihatan dan Mamogram Percuma dan Kempen Derma Darah serta penampilan ikon istimewa seperti Ahmad Fedtri Yahya.

Menurut Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Bin Mohd Sadullah, penganjuran karnival seperti ini lebih berkesan dalam menterjemahkan persoalan-persoalan pengunjung ke dalam bentuk maklumat yang lebih terperinci.

“Melalui penganjuran seperti ini, mereka yang hadir dapat melihat secara langsung dan seterusnya membuat pemilihan berdasarkan penerangan-penerangan yang diberikan oleh wakil dari pusat pengajian.

“Walaupun terdapat kemudahan atas talian, pelajar dan mereka yang hadir jelas selesa untuk melibatkan diri secara langsung memandangkan peluang sudah tersedia melalui pameran-pameran yang dijalankan,” tambah Farhan.

Dimajlis yang sama, Datuk Nik Ali Mat Yunus turut mengumumkan lanjutan permohonan kemasukan ke universiti awam (UA) melalui saluran UPU Online sehingga 5 April depan bagi pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berikutan pengumuman keputusan peperiksaan itu yang lewat dari tarikh yang telah ditetapkan.

Antara mereka yang turut hadir pada majlis perasmian ialah Naib-naib Canselor, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah-pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, Pegawai Kanan IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Teks & Foto: Siti Faizah Abd Halim