Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TERAPKAN KONSEP SAMBIL MENYELAM MINUM AIR – PENGARAH KAMPUS

 DSC7194

NIBONG TEBAL, 21 April 2017 – Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan disaran Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman sambil belajar melalui aktiviti-aktiviti yang disertai.

Beliau menyatakan yang sedemikian ketika berada dalam sesi dialog serta perjumpaan bersama wakil-wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Persatuan Chemical Engineering Student Society (ChESS), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia Universiti Sains Malaysia (PSSCMUSM), Persatuan Mahasiswa Islam USM dan Majlis Penghuni Desasiswa (MPD).

“Sambil menyelam minum air, aktiviti yang dijalankan tidak seharusnya semata-mata memenuhi tuntutan kelab masing-masing tetapi juga hendaklah menjadi ruang untuk pembelajaran secara maksima kepada semua yang terlibat,” kata Azazi.

 DSC7184

Azazi turut menyeru kepada perwakilan yang hadir agar menggalakkan penyertaan pelbagai kaum untuk setiap program yang dianjurkan di Kampus Kejuruteraan dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu kaum pada satu masa sahaja.

“Gembelingkan tenaga semua kaum dalam memastikan kejayaan dan kehebatan program terlaksana,” tambah beliau di perjumpaan yang turut disertai oleh Pegawai-pegawai dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (Kejuruteraan) ini.

Antara perkara yang dibincangkan adalah dewan yang terhad untuk kegunaan aktiviti, kurangnya sokongan daripada staf/pelajar pada aktiviti yang dianjurkan dan bilangan ahli dalam persatuan yang rendah / tidak ramai.

 DSC7190

Sebelum bersurai, Azazi sempat memaklumkan akan peluang kerjasama antara Pejabat Pengarah dan Majlis-majlis Perwakilan Pelajar di masa hadapan jika diberi kesempatan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman