Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PELAJAR USM TERBANG KE SYDNEY!

DSC 2324

NIBONG TEBAL, 25 Julai 2018 - Pasukan Falcon yang terdiri daripada empat orang pelajar dan seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) akan diterbangkan ke Sydney, Australia dengan tajaaan penuh oleh National Instruments (NI) untuk menyertai NI Autonomous Robotics Competition (NI ARC) 2018 setelah memenangi NI ARC yang diadakan di sini baru-baru ini.

Mereka adalah Kupenthyran a/l Ravi Kumar, Thivagar A/L Raja Kumar, Sugan A/L Nagappan serta Tinesh a/l Velumurugan bersama-sama Dr. Wan Mohd Yusof Rahiman Wan Abdul Aziz selaku penyelia akan menjadi jwakil tunggal dari Malaysia untuk berentap dengan lebih 50 pasukan dari Australia dan New Zealand.

Pertandingan ini bertujuan untuk membina dan mencipta robot masa depan yang memacu pelajar ke arah aplikasi serta kaedah-kaedah dalam pembuatan rekabentuk kenderaan pintar yang boleh mematuhi peraturan jalan raya.

DSC 2171

DSC 2287

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata pertandingan ini juga adalah bertujuan untuk memupuk minat pelajar sambil mendorong semangat ke arah kerjaya kejuruteraan, sains & teknologi.

“Selain daripada itu, penganjurannya juga diharap dapat melahirkan bakat-bakat muda dalam kalangan pelajar kita dengan pengalaman dalam mengendalikan perkakasan dan perisian industri.

“Kita mengharapkan agar setiap peserta dapat mempelajari bagaimana untuk menyelesaikan masalah dalam dunia pekerjaan yang sebenar dengan bantuan serta tunjuk ajar daripada mentor yang berpengalaman di dalam industri ini,” tambah Abdul Rahman.

Program kolaborasi di antara NI dan Pejabat Sains@USM ini memerlukan robot setiap pasukan yang bertanding untuk menyelesaikan tugas-tugas seperti pergi ke drop-off point, memunggah kiub, berkomunikasi secara tanpa wayar dan mengelak halangan semasa untuk mengoptimumkan prestasi serta kecekapan dalam memperolehi markah.

DSC 2221 2

DSC 2237 2

DSC 2279

Pengarah Urusan NI, Matej Kranjc menyatakan keterujaan beliau dalam menyaksikan kejayaan penganjuran program ini yang disifatkan sebagai luar biasa dan penuh dengan semangat berpasukan yang tinggi.

“Kreativiti dan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar sangat mengagumkan walaupun program ini julung kali diadakan di Malaysia dan hanya diadakan di Australia sejak lapan tahun yang lalu.

“Keputusan dan tindakan NI dalam memilih USM sebagai universiti pelopor dalam penganjuran program sebegini di luar Australia dan New Zealand adalah sangat tepat kerana bakat serta komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta dan juga pensyarah dari USM adalah sangat tinggi,” tambah beliau lagi.

DSC 2255

DSC 2342

Sepanjang program ini dijalankan iaitu bermula November tahun lalu, para peserta telah mengikuti latihan oleh pakar dan jurutera yang berpengalaman dari NI, sebuah pekakasan myRIO 1900 dan wang tajaan sebanyak RM1500.00 dan keperluan lain yang berkaitan.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran yang turut memberikan sokongan kepada para peserta serta berharap program seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang.