Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

REPUTASI USM TARIK MINAT PELAJAR ANTARABANGSA

DSC 6046

NIBONG TEBAL, 6 September 2018 – Reputasi Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebuah universiti berprestasi tinggi di dalam dan luar negara jelas berjaya menarik minat pelajar antarabangsa untuk menyambung pelajaran di sini.

Lyric Kyle Martinez, 17, menyatakan bahawa sebelum membuat keputusan dalam memilih universiti untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan, beliau sempat melakukan beberapa tinjauan ke universiti-universiti yang lain.

“Saya mendapati USM menepati ciri-ciri kampus kondusif yang sememangya dapat memenuhi keperluan kami, pelajar antarabangsa sepanjang tempoh pengajian kelak.

“Malah, pencapaian universiti ini dari segi ranking antara yang terbaik dunia telah menarik minat saya untuk mendaftarkan diri di dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa di sini,” tambah pelajar yang berasal dari Filipina ini.

DSC 6030
Bagi Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa yang juga merupakan Pemangku Pengarah Kampus, Profesor Ir. Dr. Mohd Zulkifly Abdullah pula berharap agar pelajar antarabangsa akan dapat menyesuaikan diri mereka dengan baik sepanjang empat tahun akan datang.

“Kita tidak mahu wujud sebarang perbezaan yang kelak akan mewujudkan ketidakselesaan kepada mereka memandangkan tujuan utama mereka ke USM adalah untuk mengenggam segulung ijazah.

“Saya juga positif akan kepekaan kampus ini terhadap sebarang keperluan yang berkaitan dengan status mereka sebagai pelajar antarabangsa disamping berharap agar mereka juga dapat mewujudkan jalinan hubungan yang baik dengan pelajar-pelajar yang lain nanti,” tambah Zulkifly.

DSC 6021

Seorang lagi pelajar, Zama Ahmed Saeed, 19, berkata beliau mendapat banyak maklumat mengenai USM melalui abang beliau yang kini sedang menyambung pengajian di salah sebuah universiti di Malaysia.

“Memandangkan abang saya telah mempunyai pengalaman sebagai seorang pelajar di negara ini, beliau telah memaklumkan akan perbandingan prestasi antara universiti-universitinya sebelum akhirnya menggalakkan saya untuk menyambung pengajian di sini,” tambah beliau yang berwarganegara Maldives ini.

DSC 6033


Pengarah dan pelajar-pelajar antarabangsa seramai 15 orang tersebut bertemu di dalam satu sesi Pengarah Kampus bersama pelajar antarabangsa sempena Minggu Siswa Lestari Sidang Akademik 2018/2019 di Dewan Seminar, Kampus Kejuruteraan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman