Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PASUKAN USM MENYERLAH DI IDEERS COMPETITION 2018

P1530620

Dua pasukan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia berjaya menyerlah dan telah mempamerkan keputusan yang memberangsangkan dalam “Introducing and Demonstrating Earthquake Engineering Research for Schools (IDEERS) 2018” yang diadakan pada 14-15 September baru-baru ini di Taipei, Taiwan. Pertandingan antarabangsa ini telah diadakan di Taiwan National Center for Research on Earthquake Engineering (NCREE). Program ini merupakan anjuran bersama antara NCREE, Makmal Penyelidikan Gunaan Negara (NARLabs) dan British Council (BC). Setiap pasukan diperuntukkan masa selama enam jam dan tiga puluh minit untuk membina model bangunan menggunakan bahan yang disediakan. Midel-model yang telah siap kemudiannya diuji untuk pelbagai peringkat gerak gempa dwiarah (250 gelen hingga 800 gelen) yang disimulasikan menggunakan meja getar.

P1530617

Sejumlah 49 pasukan mahasiswa dari Asia Tenggara, Australia, China, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan menyertai pertandingan ini. Kedua-dua pasukan dari USM telah dianugerahkan Sijil Quake-Resistant apabila model ciptaan masing-masing melepasi ujian dengan 400 gelen gerak tanah sintetik. Pasukan USM yang telah memenangi tempat kelima serta anugerah Sijil Kecekapan Cemerlang terdiri daripada pelajar tahun tiga, diketuai oleh Lee Jian Yee bersama ahli pasukan beliau iaitu Chan Zheng Ruii, Lew Kah Wei dan Richard Ng Eng Yao. Sebuah lagi pasukan yang terdiri daripada pelajar tahun empat, Ho Kar Meng, Khoo Zheng Yang, Tng Kah Lok dan Yeoh Seng Keat pula berjaya meletakkan mereka di tempat kesebelas di dalam pertandingan ini. Pertandingan ini telah memberi inspirasi disamping mendidik para jurutera masa depan akan kepentingan reka bentuk struktur tahan gempa bumi.