Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

LAWATAN KE KAMPUS KEJURUTERAAN USM, PENGALAMAN BARU PELAJAR SJKC POAY CHAI

DSC 7373

NIBONG TEBAL, 1 November 2018 – Lawatan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Poay Chai (SJKCPC) ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) adalah satu pengalaman baru buat 23 orang pelajarnya yang pertama kali menjejakkan kaki ke pusat pengajian ini hari ini.

Perkara itu dinyatakan oleh salah seorang daripada empat orang guru pengiringnya iaitu Eng Bee Leng, 34, ketika melawat ke makmal-makmal Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) yang merupakan sebahagian daripada aktiviti lawatan selama setengah hari ini.

DSC 7390

DSC 7366

“Persekitaran kampus yang cantik dan selesa dapat kami simpulkan sebagai satu pendedahan yang amat baik untuk pelajar-pelajar ini.

“Semoga ianya dapat menjadi pemangkin kepada kepada pelajar tahun empat, lima dan enam ini untuk berusaha dalam pelajaran mereka dan kelak boleh menempatkan diri mereka di universiti terbaik ini,” tambah Eng.

DSC 7371

DSC 7352

Program ini turut menarik perhatian Profesor Dr. Chow Wen Shyang yang mengendalikan lawatan di PPKBSM dan berharap agar pelajar-pelajar yang terlibat mendapat manfaat dalam sesi selama dua jam di sini.

“Semoga setiap tunjuk ajar serta ilmu yang kita berikan akan membuka minda mereka akan bidang kejuruteraan.

“Malah, pengalaman ini juga diharap dapat dikongsikan bukan sahaja dengan rakan-rakan mereka yang tidak dapat hadir tetapi juga ibu bapa masing-masing yang akan menunjukkan betapa meluas dan menariknya bidang ini jika dipelajari dengan lebih mendalam,” kata Profesor Dr. Chow lagi.

DSC 7358 DSC 7360

 

Salah seorang daripada pelajar yang terlibat, Nur Alya Damia, 12, pula berkongsi keterujaan beliau yang pertama kali mempunyai peluang untuk berada di pusat pengajian sebuah universiti seperti PPKBSM.

“Seronok apabila didedahkan dengan ilmu-ilmu sains dan kejuruteraan seperti ini dan saya berharap untuk datang lagi jika diberi kesempatan,” kata pelajar tahun enam ini.

Bagi Chong Kok Ping, 11 pula, pengalaman melawat ke beberapa makmal di PPKBSM adalah sesuatu yang baharu tetapi menakjubkan terutamanya apabila melihat kepada peralatan-peralatan canggih yang digunakan.

DSC 7362

DSC 7405

Program anjuran Kelab Bimbingan dan Kaunseling SJKCPC adalah yang pertama seumpamanya diadakan namun lebih banyak aktiviti serta lawatan luar akan diwujudkan untuk tujuan pembelajaran murid-murid sekolah ini kelak.

Selain PPKBSM, pelajar-pelajar dan guru pengiring seterusnya dibawa melawat ke perpustakaan kampus sebagai sebahagian daripada aktiviti lawatan selama setengah hari mereka di kampus ini sebelum bertolak pulang.