Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM PERKENAL MASJID MODEL RAHMAH, JADI IKUTAN MASJID SELURUH NEGARA

USM, PULAU PINANG, 27 Mac 2019 – Perubahan semasa yang berlaku yang melibatkan konsep keterbukaan seiring dengan arus pemodenan mendorong Universiti Sains Malaysia (USM) memperkenalkan Masjid Model RAHMAH sebagai konteks dakwah pelbagai budaya.

RAHMAH adalah akronim kepada Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami (Go Green) dan Hormat bakal menjadi model buat Masjid Al-Malik Khalid sebagai pusat kecemerlangan dan perubahan kepada dunia Islam secara keseluruhannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pendekatan yang diambil oleh USM amat terpuji kerana sudah tiba masanya institusi masjid diterjemahkan dengan RAHMAH yang lebih bersikap terbuka terutamanya berteraskan konsep ‘rahmatan lil alamin’.

“Masjid Al-Malik Khalid USM wajar dijadikan model kepada konsep RAHMAH ini dan pada masa yang sama tidak mengubah kerangka asalnya sebagai tempat beribadat.

“Jadi, saya menyeru institusi masjid di negara ini dapat mengikuti apa yang dilaksanakan USM selaras dengan usaha kerajaan mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan ‘Rahmatan lil Alamin’ itu sendiri,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Masjid Model RAHMAH sempena Mosque Tour Week 2019 anjuran Pusat Islam USM di Masjid Al-Malik Khalid, USM.

Tambah Mujahid, konsep sebegini jika diamalkan oleh setiap institusi masjid mampu memadamkan prasangka negatif dan sikap kebencian di dalam negara yang berbilang agama dan bangsa seperti di Malaysia.

“RAHMAH jika dinilai dan dihayati mampu memadam sifat kebencian antara manusia dan kebencian sesama agama yang perlu dihindari dalam masyarakat pelbagai kaum berdasarkan ajaran Islam yang sebenar, seterusnya model rakyat Malaysia yang pelbagai kaum boleh dicontohi oleh dunia luar,” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan semua bahawa Masjid Al-Malik Khalid USM yang terletak di dalam kampus boleh memainkan peranan penting untuk menyebarkan kerahmatan Allah kepada golongan intelektual/ilmuan, warga kampus dan masyarakat setempat.

Pada majlis yang sama, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata, konsep RAHMAH yang dipraktikkan oleh Pusat Islam USM amat bertepatan dengan hala tuju USM untuk membina Malaysia yang lebih lestari pada masa hadapan.

“Ini juga menjadikan Masjid Al-Malik Khalid USM sebagai contoh kepada masjid-masjid lain yang seumpamanya sebagai masjid yang mesra dan ramah termasuk menyantuni bukan Islam, bersuasana aman tanpa elemen kebencian, yang harmoni, mesra alam serta saling hormat-menghormati,” katanya.

Pada konvensyen itu juga, Mujahid melancarkan Kit Maidatur Rahman yang membekalkan barangan keperluan asas kepada mereka yang memerlukan dalam kalangan warga qaryah dan warga USM khususnya golongan B40, selari dengan visi dan misi USM iaitu mentransformasikan golongan terkebawah.

Sebanyak 50 kit Maidatur Rahman disampaikan kepada 50 penerima terpilih bersempena dengan sambutan 50 tahun penubuhan USM pada tahun ini,

Yang turut hadir adalah Timbalan Ketua Menteri 1, Negeri Pulau Pinang, Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Mufti Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Lembaga Gabenor USM, Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Hj. Wan Salim Wan Mohd Noor; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Pusat Islam Universiti Sains Malaysia, Tuan Haji Mohammad Shukri Osman.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar