85 PELAJAR POLITEKNIK AKAMIGAS PALEMBANG SERTAI ISS 2019 PPKBSM

Akamigas Palembang

NIBONG TEBAL, 21 Julai 2019 – Seramai 85 orang pelajar dan dua orang pengiring dari Politeknik Akamigas Palembang, Indonesia terlibat dalam International Summer School (ISS) 2019 anjuran Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM).

Program yang pertama kali diadakan ini merupakan sebahagian daripada intipati Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM serta politeknik tersebut dan akan dijadikan sebagai acara tahunan di PPKBSM kelak.

Wakil Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Madya Ir. Dr Syed Fuad Syed Hashim dalam ucapan perasmian beliau menyatakan bahawa program selama 14 hari ini merupakan gabungan antara kemahiran teori dan praktikal semua peserta.

“Pembelajaran secara interaktif melalui lawatan akademik dan sosial turut diadakan dalam memastikan setiap pelajar yang terlibat terhibur dan bersemangat sepanjang ISS 2019 dijalankan,” kata Syed.

“Malah, besar harapan kita agar sebaik sahaja modul ini selesai, para peserta akan dilengkapi dengan pengetahuan serta kemahiran aplikasi mekanik batuan dan petrologi yang merupakan asas penting dalam bidang perlombongan dan industri berasaskan mineral,” tambah beliau.

ISS 2019 yang diadakan dari 7 hingga 21 Julai ini melibatkan aktiviti-aktiviti seperti ceramah-ceramah akademik, slot-slot motivasi dan sesi lawatan ke pusat-pusat perindustrian, penyelidikan dan akademik di pelbagai lokasi sekitar Pulau Pinang, Ipoh dan Pengkalan Hulu, Perak.

Akamigas USM

Syed turut menyatakan bahawa peserta ISS 2019 turut diperkenalkan dengan pembelajaran secara interaktif iaitu melalui medium elektronik dalam talian seperti menggunakan aplikasi Mentimeter, Quizlet, Padlet, Socrative dan juga Kahoot bagi menghasilkan pembelajaran yang menarik dan ceria ketika di dalam kelas.

Peserta ISS 2019 juga itu turut diperkenalkan kepada Neuro Linguistic Programming (NLP) untuk meningkatkan kemahiran komunikasi masing-masing di samping memberi kesedaran akan fungsi pembelajaran sepanjang hayat kepada mereka.

Selain daripada itu, para peserta diperkenalkan dengan warisan dan sejarah Georgetown melalui satu lawatan budaya ke Pulau Pinang yang turut melibatkan sesi interaksi, permainan tradisional dan sukan antara peserta dan pelajar-pelajar sarjana muda USM.

Lhoist Malaysia

Rahman Hydraulic

“Kemuncak kepada program kali ini adalah lawatan ke Syarikat Rahman Hydraulics Sdn. Bhd. iaitu syarikat lombong timah terbesar di Malaysia dan Loji Kalsium Karbonat Lhoist yang terletak di Perak di mana mereka dapat mengalami sendiri secara langsung aktiviti peletupan lombong sebenar yang dijalankan,” kata beliau yang juga merupakan Dekan PPKBSM.

“Semoga pendekatan dua arah program ini bukan sahaja akan meningkatkan pengetahuan mereka secara holistik, tetapi juga mewujudkan tarikan dan semangat untuk mereka melanjutkan pelajaran di USM kelak,” tambah Syed lagi.

Cadangan untuk ISS kali yang seterusnya adalah pada bulan Julai 2020 akan datang dengan sasaran pertambahan peserta kepada 100 orang.

MAHASISWA USM

Selain daripada sijil dan cenderamata, turut disampaikan pada akhir program adalah Anugerah Akademik Terbaik, Anugerah Kepimpinan Terbaik, Video Promosi USM-Akamigas Terbaik serta Anugerah Sukan dan Kebudayaan Terbaik.

Teks: Hasliza Mat Saad dan Siti Faizah Abd Halim / Foto: Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI