Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

10 CALON BERTANDING DI MAJLIS PEMILIHAN SISWA 2015/2016

MPS 5312

NIBONG TEBAL, 16 September 2015 – Seramai 10 orang calon bertanding di Majlis Pemilihan Siswa (MPS) sesi 2015/2016 bagi kerusi Pusat Pengajian Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang akan dijalankan pada 17 September 2015 di lima pusat membuang undi.

Majlis Pemilihan Siswa ini akan berlangsung serentak di ketiga-tiga kampus iaitu di Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

Sebanyak lapan kerusi dipertandingkan melibatkan satu kerusi umum, enam kerusi Pusat Pengajian dan satu kerusi Institut Pengajian Siswazah (IPS).

Proses penamaan calon telah dijalankan pada 14 September 2015 lalu dan sebanyak 13 pencalonan diterima dan disemak serta layak bertanding selepas tamat masa bantahan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiga kerusi telah dimenangi tanpa bertanding manakala lima kerusi lagi akan dipertandingkan dalam Majlis Pemilihan Siswa yang akan bermula esok di lima Pusat Pengajian yang terlibat.

Seramai 2,253 pelajar sarjana muda tahun satu hingga empat berstatus aktif dianggarkan akan keluar membuang undi di lima Pusat Pengajian iaitu Kejuruteraan Aeroangkasa, Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral, Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Mekanik yang akan bermula pada pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 5.00 petang.

Walau bagaimanapun, keputusan rasmi dijangka akan diumumkan oleh urusetia Majlis Pemilihan Siswa, Kampus Induk selepas tamat pengiraan undi disemua pusat pengiraan yang telah ditetapkan.

Ketua Keutuhan, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Hanafi Ismail turut hadir pada hari ini untuk memastikan peralatan dan perjalanan bagi pengiraan undi yang akan digunakan berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.

MPS 5218

“Saya sebagai ketua dan wakil Kampus Kejuruteraan perlu memastikan peralatan, sistem dan mesin e-voting yang akan digunakan semasa Majlis Pemilihan Siswa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan semasa hari pengiraan undi dan tidak timbul sebarang masalah semasa pengiraan undi nanti”, katanya.

Tambahnya lagi, penggunaan mesin e-voting pada tahun ini dapat melancarkan pengiraan undi dengan lebih cepat dan kebaikannya dapat menjimatkan masa semua pihak.

Hanafi yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral itu turut berharap perjalanan Majlis Pemilihan Siswa pada kali ini dapat dilaksanakan dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah.

Turut hadir mendengar taklimat yang dijalankan secara tele-sidang oleh Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey ialah Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Masyarakat, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad, Pengarah, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Lee Keat Teong, Pegawai-Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (HEPA) dan urusetia serta pelajar.

Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin