Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM “MENGEJAR IBRAH TSUNAMI DI BUMI ACEH” BERI KESAN MENDALAM

NIBONG TEBAL, 15 September 2015 – Seramai 40 mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengikuti program lawatan akademik yang bertemakan “Mengejar Ibrah Tsunami di Bumi Aceh”, Indonesia, baru-baru ini.

Lawatan yang mengambil masa selama empat hari bermula 10 sehingga 13 September 2015 yang lalu telah memberi kesan yang mendalam kepada delegasi termasuk tujuh pegawai pengiring dalam kalangan kakitangan Desasiswa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar &  Alumni (HEPA).  

Menurut Ketua Delegasi Program, Prof. Madya Dr. Mohamad Hekarl Uzir berkata program ini dianjurkan secara bersama oleh Majlis Penghuni Desasiswa Jaya (MPDJ), Majlis Penghuni Desasiswa Fajar Harapan (MPDFH), Majlis Penghuni Desasiswa Restu (MPDR) dan bernaung dibawah Sekretariat Lestari Alam Nusantara (SALINDRA).

“Lawatan ini bukan hanya lawatan akademik, lawatan ini juga merupakan lawatan yang memenuhi keperluan penduduk dan mendalami kejadian tragis yang menimpa penduduk Aceh pada 26 Disember 2004”, kata Mohamad Hekarl yang juga merupakan Penggawa Desasiswa Jaya.  

Dalam ucapan pembukaan, beliau mengucapkan penghargaan terima kasih di atas bantuan dan sokongan universiti-universiti di Aceh dalam membantu mangsa yang terlibat dalam kemalangan melibatkan delegasi daripada USM tempoh hari yang telah mengorbankan seorang pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Sumber Mineral, Muhamad Izzamir Nabihan A. Majid, 23 tahun.

Tambahnya lagi, program penanda aras bersama empat buah universiti merupakan program utama lawatan yang melibatkan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Syiah Kuala, Universiti Islam Negeri Arhraniry dan Universiti Ubudiyah Indonesia dipertemukan di meja persidangan dengan mengupas aspek pembangunan dan transformasi di universiti masing-masing.

Sementera itu, Wali Kota Aceh, Ustaz Amir Ahmad Pohat berkata lawatan tersebut merupakan satu program yang amat baik kerana melibatkan seluruh komuniti masyarakat yang memang memerlukan khidmat sedemikian.

“Saya berbangga dengan kehadiran siswa-siswi USM dan berharap agar program seperti ini dapat diteruskan demi melahirkan seorang pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan”, ujarnya.

Antara aktiviti yang diadakan adalah membantu anak-anak yatim peninggalan Tsunami di Pesantren Dar Maryam dengan program kesukarelaan dan khidmat motivasi, gotong royong membaiki rumah yang rosak, membersihkan kawasan sekitar serta persembahan Dikir Barat oleh pelajar-pelajar USM pada malam Transformasi Budaya.

Teks: Norafiza Osman / Sumber & Foto: Ruziatun Amirah Ismail