LAWATAN SK SAUJANA INDAH KE KAMPUS KEJURUTERAAN BERI PENDEDAHAN AWAL DUNIA PENGAJIAN TINGGI
NIBONG TEBAL, 27 Februari 2025 – Seramai 115 orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Saujana Indah (SKSI) telah mengadakan lawatan ke Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai sebahagian daripada usaha mendedahkan mereka kepada persekitaran pembelajaran di peringkat pengajian tinggi.
Lawatan ini juga bertujuan untuk memberikan motivasi serta inspirasi kepada pelajar agar terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan mempertimbangkan bidang kejuruteraan sebagai pilihan kerjaya pada masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada jadual lawatan, para pelajar telah dibawa melawat ke dua pusat pengajian utama, iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.
Penolong Pendaftar Kanan Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan, Mohd Kamil Ashar berkata, pihak USM turut mengalu-alukan lebih banyak lawatan seumpama ini pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk minat pelajar sekolah dalam bidang kejuruteraan dan sains.
“Semoga lawatan ini dapat memberi kesan positif kepada pelajar dalam merancang masa depan mereka dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam bidang kejuruteraan serta teknologi,” kata beliau.
“Semoga dengan pengalaman ini, para pelajar akan lebih bersemangat untuk mencapai kejayaan akademik dan menjadikan USM sebagai pilihan utama mereka dalam melanjutkan pelajaran kelak,” tambah Kamil.
Turut hadir adalah Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKSI, Profesor Madya Dr. Abdullah Aziz dan Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad.
Teks: Ihsan Profesor Dr. Mohd Azmier Ahmad / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman