BAKAL JURUTERA BERKUMPUL DI CHEM-E BY ChESS EXPO
NIBONG TEBAL, 12 April 2025 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan pameran pendidikan Chem-E By ChESS Expo, melibatkan penyertaan seramai 164 pelajar daripada enam buah sekolah menengah serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh.
Melalui program ini, pelajar dari Akademi Sains Pendang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh, SMK Panglima Bukit Gantang, SMK Seri Perak, SMK Simpang Ampat, SMK Saujana Indah dan UiTM diberi peluang unik untuk merasai dunia kejuruteraan melalui pameran interaktif, eksperimen secara langsung serta sesi interaksi rapat bersama pelajar dan pensyarah universiti.
Dalam ucapan penutup, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad menekankan kepentingan expo yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (ChESS) dalam mencungkil minat dan bakat muda dalam bidang sains dan teknologi.
“Matlamat kami hari ini adalah untuk menarik minat bakal jurutera sekalian, bukan sahaja dalam bidang kejuruteraan kimia, tetapi juga semua cabang kejuruteraan,” katanya.
“Bidang kejuruteraan tidak pernah ketinggalan zaman. Malah, ia kini berkembang seiring dengan bidang baharu seperti kecerdasan buatan contohnya,” tambah beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam era media sosial yang penuh maklumat tidak sahih, program seperti ini memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran sebenar kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan.
“Malaysia memerlukan lebih ramai jurutera, dan kami di USM komited untuk melahirkan bakat bertaraf dunia.”
“Sebenarnya, Sekolah Kejuruteraan Kimia USM kini berada dalam kedudukan 100 hingga 200 terbaik dunia. Jadi, jika anda meminati matematik dan fizik, kejuruteraan kimia mungkin adalah pilihan kerjaya anda,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Profesor Zainal turut menyeru para guru untuk terus memupuk minat dalam bidang STEM dalam kalangan pelajar, serta menggalakkan lawatan sekolah ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM bagi meneroka peluang-peluang yang telah disediakan.
Expo ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pendidikan, malah menjadi inspirasi kepada para peserta, yang rata-rata menyatakan minat baharu mereka untuk meneruskan kerjaya dalam bidang kejuruteraan, sekali gus membentuk generasi masa depan sebagai inovator dan penyelesai masalah.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Farid Hamidi Wahab