Skip to main content

LAWATAN KE USM BUKA MINDA PELAJAR

Kenari DSC3402

NIBONG TEBAL, 10 November 2016 – Seramai 80 pelajar tahun enam diiringi lapan guru pengiring dari Sekolah Kebangsaan Taman Kenari (STKT), Kulim, Kedah mengadakan lawatan kembara ilmu di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Perpustakaan, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.

Menurut Ketua Lawatan, Mohd Shukri Shafie berkata, program tersebut diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal dan perkongsian ilmu berkaitan kerjaya kepada murid-murid yang akan berada di sekolah menengah bagi mereka memilih bidang-bidang yang diminati.

“Pendedahan ini adalah untuk memotivasikan murid-murid dalam membuat pemilihan bidang yang diminati bagi meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan”, kata Mohd Shukri.

Kenari DSC3478

Program bermula sewal jam 9.00 pagi dengan taklimat ringkas daripada Pegawai Latihan Vokasional, Mohd Najhan Awang dan lawatan ke makmal serta hanger di Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa.

Rata-rata murid yang hadir kelihatan gembira serta teruja apabila dibawa melawat persekitaran Perpustakaan USM dan seterusnya taklimat disampaikan oleh Pustakawan Kanan, Badli Syahar Bakhtier.
 
Sementara itu, salah seorang guru pengiring, Mimi Abu Hassan berkata, lawatan ini amat bermakna bagi murid-murid sekolah dan boleh membuka minda mereka dalam memilih bidang pengajian apabila berada di sekolah menengah kelak.

Kenari DSC3445

“Saya harap pelajar-pelajar kami dapat memberi fokus yang lebih dalam bidang kejuruteraan sekiranya mereka meminati untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan”, katanya.

Dalam masa yang sama, Hasmidar Yeop Md Rose yang juga merupakan Guru Bahasa menyatakan rasa puas hati dengan layanan dan kemudahan yang disediakan universiti.

“Bagi saya, USM bukan sahaja merupakan universiti terbaik dalam negara kita malah suasana aman di kampus ini sangat sesuai untuk proses pembelajaran”, katanya.

Kenari DSC3505

Salah seorang pelajar program yang ditemui berkata, lawatan yang dianjurkan oleh Kelab Bimbingan dan Kaunseling, SKTK ini mencapai matlamat dan tujuan yang diinginkan.

“Saya bersyukur kerana berpeluang turut serta dalam lawatan ini dan akan berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat memasuki universiti awam seperti USM suatu hari nanti”, katanya.

Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin