PPKT TERIMA LAWATAN POLITEKNIK UNGKU OMAR
NIBONG TEBAL, 21 November 2016 – Seramai 20 pensyarah daripada Jabatan Matematik, Sains dan Komputer, Politeknik Ungku Omar (PUO) telah mengadakan Lawatan Ilmiah Amalan Hijau dan Kitar Semula di Pusat Pengetahuan, Komunikasi dan Teknologi (PPKT), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Rombongan PUO dialu-alukan dengan tayangan multimedia berkaitan Kampus Kejuruteraan, USM dan PPKT sebagai penyedia perkhidmatan ICT di USM serta perkongsian iltizam dan juga komitmen USM dalam aspek kelestarian yang telah dimulakan seawal tahun 2000 sehingga ke hari ini.
Menurut Timbalan Pengarah PPKT, Mazlifendirizan Md Rejab berkata, tujuan lawatan adalah untuk berkongsi ilmu bagi mempertingkatkan usaha amalan hijau dan kitar semula di PUO khususnya dan PPKT umumnya.
Katanya, antara program yang telah dilaksanakan dan mencapai tahap pencapaian USM ialah pelancaran Program Kampus Sejahtera, pengisytiharan USM sebagai Universiti Dalam Taman, pelantikan USM sebagai Pusat Kecemerlangan Wilayah bagi Pendidikan untuk Pembangunan Lestari, penawaran program akademik, penerbitan dan konsultansi berkaitan kelestarian melalui penubuhan Pusat Kajian Kelestarian Global, mewujudkan Polisis Kelestarian USM 2014 serta penekanan aspek kelestarian dalam perancangan strategik USM.
“PPKT mengambil inisiatif dalam memberi sumbangan kepada agenda kelestarian di USM melalui penubuhan Jawatankuasa Keceriaan dan Kelestarian”, katanya lagi.
Pihaknya turut mewujudkan Garis Panduan Amalan Hijau, Kempen Kecekapan Tenaga, Program Kesedaran Kecekapan Tenaga, Audit Kecekapan Tenaga, aktiviti kitar semula, Sudut Tanaman Herba, Set Tanaman Hidroponik, konsolidasi pelayan menggunakan kaedah VM, penggunaan telesidang bagi mengurangkan penggunaan pengangkutan serta penggunaan sistem-sistem automasi bagi mengurangkan penggunaan kertas.
Dalam pertemuan itu, PPKT turut berkongsi amalan Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau yang dilaksanakan oleh Pusat Pendidikan, Latihan dan Penyelidikan Tenaga Diperbaharui, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE), BIOECODS: Sistem Saliran Lestari USM yang dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) serta Sistem Penghawa Dingin Jimat Tenaga oleh Jabatan Pembangunan, USM.
Deligasi turut dibawa melawat sekitar PPKT dan sesi fotografi serta penyampaian cenderahati.
(Teks asal ditulis oleh Pegawai Teknologi Maklumat, Pusat Pengetahuan Komunikasi & Teknologi, Puan Salina Abdul Samat)
Teks di olah oleh Norafiza Osman / Foto Ihsan: Sheikh Md Roshahidi Sheikh Daud