Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PELAJAR KEJURUTERAAN JAYAKAN PROJEK USAHAWAN TANI SISWA, CILI FERTIGASI

WhatsApp Image 2019 12 06 at 12.59.44 PM

NIBONG TEBAL, 3 Disember 2019 - Peluang yang diberikan oleh Pengarah Kampus dimanfaatkan sepenuhnya oleh Sekretariat Keusahawanan Pelajar dengan menjayakan Projek Usahawan Tani Siswa, Cili Fertigasi.

Bermula dengan peluang yang diberikan oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria pada awal tahun 2018 kepada sekumpulan pelajar dari Sekretariat Keusahawanan Pelajar untuk mengusahakan sebidang tanah lapang bersebelahan Mini Stadium Kampus Kejuruteraan sebagai kawasan pertanian akhirnya berjaya direalisasikan.

WhatsApp Image 2019 12 06 at 12.59.43 PM

Projek khas yang dikenali sebagai Projek Usahawan Tani Siswa diwujudkan untuk para mahasiswa menceburi bidang pertanian secara eksklusif atau lebih berfokus dalam memajukan teknologi pertanian.

Perkara ini adalah selaras dengan wawasan kerajaan dan juga menyahut cabaran mantan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, pada ketika itu untuk melihat mahasiswa dibentuk menjadi usahawan by design dan bukan by chance.

Dijalankan di atas tanah seluas 2 ekar bersebelahan Mini Stadium Kampus Kejuruteraan, projek ini telah menelan belanja sebanyak RM20,000 dengan penyediaan system pengaliran baja, tangki takungan, semaian biji benih dan lain-lain berkaitan penyediaan tapak fertigasi.

Bukan sekadar cili fertigasi, kumpulan pelajar ini turut mengusahakan penanaman hasil pertanian lain seperti cendawan sisir, timun dan bendi di mana hasilnya telah dijual kepada pengusaha kantin didalam kampus serta pemborong-pemborong dari luar.

WhatsApp Image 2019 12 06 at 12.59.45 PM

Pada 3 November 2019 baru-baru ini, secretariat telah mengadakan jualan hasil tanaman terus dari ladang dengan harga borong RM8 untuk cili dan RM2.00 timun bagi setiap sekilo. Pembeli dan orang ramai berpeluang memetik sendiri hasil tanaman yang ingin dibeli seperti jualan buah strawberi di Cameron Highland.

WhatsApp Image 2019 12 06 at 12.59.42 PM

Projek ini merupakan kolaborasi antara sekretriat bersama pengusaha tempatan yang telah sedia aktif menjalankan penanaman cili fertigasi untuk saling membantu bagi menjayakan usaha ini memandangkan ianya belum mendapat bantuan dari agensi-agensi yang berkaitan dengan bidang pertanian.

Menurut Pegawai Penyelaras Projek Usahawan Tani Siswa, Mohd Nur Badri Mohd Nazli, projek ini akan diperluaskan lagi dengan pelbagai tanaman asas tani yang lain bagi membantu memenuhi keperluan pasaran di masa akan datang.

Selain daripada itu beberapa cabang lain bakal diketengahkan seperti kursus penanaman, khidmat nasihat dan lain-lain yang akan dijalankan oleh para pelajar sendiri.