Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM TERIMA DANA PENYELIDIKAN RM200 RIBU DARI LOTTE CHEMICAL TITAN

DSC 8725

USM PULAU PINANG, 28 Disember 2019 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia (PPKK) mengukuhkan kerjasama strategik dengan Lotte Chemical Titan Corporation (LCTC) baru-baru ini dengan memeterai Perjanjian Geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Agreement) bagi menjalankan penyelidikan dalam pengurusan bahan buangan atau sisa plastik.

Melalui perjanjian itu, LCTC menyumbang dana penyelidikan sebanyak RM200,000 kepada USM untuk projek kolaborasi penyelidikan bagi tempoh dua tahun, mulai Januari 2020 hingga Disember 2021.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed yang mewakili Naib Canselor USM, berkata dana itu akan memberi manfaat kepada para penyelidik akademik dan bukan akademik serta pelajar di Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, USM.

DSC 8691

“Saya yakin penyelidik-penyelidik yang terlibat akan didedahkan dengan pengetahuan dan teknologi canggih terkini dalam bidang pirolisis dan koefisien pirolisis bahan buangan plastik dan sisa lignoselulosa menjadi bio-minyak berkualiti tinggi sejajar dengan keperluan industri.

“Projek penyelidikan ini adalah sebahagian daripada penyelidikan yang bertujuan untuk meneroka nilai tambah plastik buangan dalam usaha untuk menyokong dan memacu ekonomi di Malaysia,” kata Abdul Rahman yang menandatangani perjanjian itu bagi pihak USM.

Beliau turut menjelaskan bahawa industri banyak bergantung kepada universiti serta seluruh pakar dan akademia bukan hanya dari segi memanfaatkan tenaga kerja mahir yang dihasilkan oleh universiti, tetapi memanfaatkan kelebihan pengetahuan dan penemuan dari penyelidikan asas/fundamentalnya.

“Idea dan penemuan ini mungkin boleh diterjemahkan atau digunakan dalam reka bentuk produk atau inovasi baru yang membawa impak kepada industri dan masyarakat,” tambahnya lagi.

DSC 8674

Sementara itu, Dekan PPKK USM, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad berkata, penandatanganan Perjanjian Penyelidikan itu penting untuk meningkatkan dan mengukuhkan hubungan dua hala simbiotik universiti-industri khususnya dalam pengurusan sisa plastik secara lestari untuk jangka panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCTC, Dr. Lee Dong Woo berkata, beliau berharap dana yang disalurkan itu dapat membantu meningkatkan kapasiti penyelidikan dan pembangunan USM dalam bidang berkaitan, khususnya dalam menangani masalah pengurusan sisa plastik di Malaysia dan di dunia.

DSC 8703

DSC 8764

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Teknikal Plastik LCTC, Ng Chon Fook; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik yang mewakili Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Ir. Dr. Fadzil Ain, serta pegawai-pegawai dari institusi terlibat.

Ditubuhkan pada tahun 1991, Lotte Chemical Titan Corporation beroperasi melalui beberapa kilang pengeluarannya di Pasir Gudang dan Tanjung Langsat di Johor. Ia merupakan syarikat pengeluar petrokimia (olefin) dan polimer (poliolefin) berintegrasi yang pertama dan terbesar di Malaysia, serta merupakan pengeluar poliolefin yang kedua terbesar di Asia Tenggara.

Teks: Nurul Huda Abdullah/Suntingan: Nor Rafizah Md. Zain & Tan Ewe Hoe/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman