Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

108 ATLET DAN PEGAWAI USM GALAS CABARAN DI MASUM FASA 1, 2020

DSC 9276

NIBONG TEBAL, 31 Januari 2020 – Seramai 108 atlet dari Universiti Sains Malaysia (USM) akan menggalas cabaran di Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) Fasa 1, 2020.

“Kepada semua atlet yang terlibat, lakukan yang terbaik dan bertandinglah sambil bina karakter positif masing-masing,” kata Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi, Profesor Dr. Md Roslan Hashim.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontigen USM di Pusat Pembangunan Mahasiswa (PUMA) di sini pada hari ini.

DSC 9197

DSC 9199

“Bersainglah secara sihat antara satu sama lain, tunjukkan kepada semua pihak bahawa kita di USM mempunyai nilai moral serta mental yang tinggi sepanjang pertandingan diadakan nanti,” kata beliau.

“Kalah dan menang itu adat bertanding, kekalkan nilai profesional anda semua kerana saya pasti pengalaman yang diperolehi sepanjang pertandingan ini akan menjadi suatu yang bernilai di masa akan datang,” tambah Roslan.

DSC 9223

DSC 9235

MASUM Fasa 1, 2020 akan berlangsung pada 31 Januari hingga 6 Februari 2020 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis dan melibatkan penyertaan daripada 20 universiti dari seluruh Malaysia.

Roslan turut menyeru kepada semua atlet yang terlibat untuk menjaga jalinan silaturahim bukan sahaja di kalangan pasukan sendiri malah dengan kontinjen-kontinjen daripada semua universiti yang terlibat di dalam karnival ini.

DSC 9266

DSC 9261

“Saya faham bahawa kita semua mengimpikan pencapaian yang cemerlang serta jumlah pingat yang lebih banyak berbanding penyertaan kita sebelum ini.

“Namun, semua ini tidak akan bernilai sekiranya kita tidak menunjukkan semangat kesukanan yang berintegriti sebagai cerminan kepada nilai-nilai murni USM dalam setiap perlawanan yang akan kita sertai nanti,” kata beliau.

Antara sukan yang akan disertai oleh kontinjen USM di MASUM Fasa 1, 2020 ini nanti adalah Bola Keranjang, Batminton, Silat, Catur, Sepak Takraw dan Tenis.