Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

OPERASI COVID19, 420 PELAJAR KAMPUS KEJURUTERAAN TERIMA SUMBANGAN I-INFAQ

GOPR1022

NIBONG TEBAL, 3 April 2020 - seramai 420 pelajar di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia yang masih menginap di dalam kampus menerima sumbangan I-Infaq sempena Operasi Covid19 di Perkarangan Kafeteria Lembaran, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) pada hari ini.

GOPR10071

Sumbangan kepada ima orang wakil pelajar yang hadir disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas kepada YB. Dato' Dr. Mansor Othman, Mohd Sharmizan yang mewakili Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu sambil diiringi oleh Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.

Sharmizan dalam ucapan beliau menyatakan rasa kagum beliau dengan semua pelajar kampus terlibat yang dapat menerima dengan tenang dan patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020 di seluruh negara ini.

Berikutan penularan wabak Covid19, pelajar-pelajar ini dan 90 orang pelajar Kampus Kejuruteraan yang tinggal di luar Kampus masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing dan perlu bertahan sehingga tamat tempoh PKP yang akan dimaklumkan kelak.

Profesor Dr. Nor Azazi pula menggesa agar semua pelajar yakin dengan pihak Pengurusan Kampus dan Universiti kerana mereka sedang melakukan yang terbaik dalam memastikan kebajikan semua pihak adalah terpelihara walaupun pergerakan adalah terhad.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa Kampus Kejuruteraan sememangnya telah lama bersedia dengan satu jawatankuasa seramai 120 orang yang akan bergerak serta membantu di dalam permasalahan-permasalahan seperti ini dari masa ke semasa.

Tambah Azazi, selain berharap agar sumbangan yang disampaikan melalui Jawatankuasa Operasi Covid19 Kampus Kejuruteraan dan Pusat Islam ini dapat membantu meringankan beban pelajarnya , ia juga jelas menunjukkan keprihatinan pihak universiti terhadap mereka yang terlibat yang pasti sangat terkesan dari segi emosi kerana terpaksa berjauhan dari keluarga masing-masing dalam tempoh yang agak lama.

GOPR10131

Antara sumbangan barangan makanan dan keperluan harian pelajar yang disampaikan adalah seperti roti, biskut, pembersih tangan, penutup muka dan sabun.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Abdul Hafiz Abdul Hamid