Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

AWANG ADEK HUSSIN DILANTIK PENGERUSI LEMBAGA GABENOR USM YANG BAHARU

WhatsApp Image 2020 06 07 at 14.37.25

PULAU PINANG, 8 Jun 2020 – Mantan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (2014-2016), Dato’ Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa 8 Jun 2020 hingga 7 Jun 2023.

Pelantikan Awang Adek, 64, anak kelahiran Bachok, Kelantan itu diumumkan oleh YB Menteri Pengajian Tinggi melalui satu surat rasmi kepada USM, menggantikan penyandang terdahulu, Dr. Hari Narayanan P. Ondiveeran.

Beliau yang pernah berkhidmat di USM di awal kariernya (1983-1985) meraih ijazah pertamanya di Drew University, New Jersey, Amerika Syarikat dan bagi peringkat sarjana dan doktor falsafah di Wharton School, University of Pennsylvania Philadelphia.

Awang Adek turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan dan korporat termasuk sebagai Penolong Gabenor Bank Negara dari 1996 sehingga 2001.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain dipinjamkan ke Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan sebagai Ketua Pengarah yang pertama selama dua tahun bermula pada tahun 1996.

USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan berkenaan dan menzahirkan komitmen untuk bersama-sama memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam merealisasikan visi Universiti ke arah mentransformasikan pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok.

Pihak Universiti turut menzahirkan kepercayaan terhadap kepimpinan dan pengalaman luas yang ada pada beliau akan meneruskan usaha memacu pencapaian dan kecemerlangan USM ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

Teks: Marziana Mohamed Alias/Infografik: Ebrahim Abdul Manan