Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MAJLIS SAMBUTAN AWAL MUHARAM 1442H, 38 KELUARGA B40 TERIMA SUMBANGAN

DSC 0748

NIBONG TEBAL, 19 Ogos 2020 – 38 keluarga B40 dari kalangan warga Kampus Kejuruteraan gred 14 dan ke bawah terima Kit Maidah Rahman sempena Majlis Sambutan Awal Muharam 1442H Peringkat Kampus Kejuruteraan yang diadakan di sini hari ini.

Sumbangan yang berupa barangan keperluan dapur bernilai RM50.00 tersebut disampaikan oleh Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria dan Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman.

“Sambutan Awal Muharam pada tahun ini diharap dapat menjadi simbolik penghijrahan kita semua di dalam membudayakan norma baharu akibat daripada wabak baharu COVID-19 yang melanda dunia sejak Disember tahun lalu,” kata Azazi ketika ditemui selepas majlis berlangsung.

DSC 0789

DSC 0798

Beliau turut menggesa agar warga kampus sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam semua aktiviti harian mahupun acara yang dianjurkan demi kebaikan semua pihak.

“Ini adalah untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan semua yang mana pada akhirnya tujuan kita hanyalah satu, iaitu untuk menang melawan wabak ini serta meneruskan aktiviti harian kita seperti biasa dengan selesa seperti dahulu,” tambah beliau.

Penyediaan makanan sempena sambutan ini juga dijalankan dalam keadaan patuh SOP seperti yang ditetapkan dan diserahkan secara bungkusan kepada semua 60 orang tetamu yang hadir.

DSC 0711

Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman pula menyeru agar semua yang hadir untuk menghayati nilai hijrah supaya dapat memberi perubahan kepada diri, keluarga dan masyarakat.

“Menerusi peristiwa hijrah ini Baginda SAW dan para sahabat telah malakukan satu perubahan dengan penuh strategi, bermula daripada saat sebelum, semasa serta selepas peristiwa hijrah.

DSC 0830

“Akhirnya, hijrah Nabi berjaya membina perubahan kepada diri, keluarga serta masyarakat melalui pendekatan tiga prinsip utama iaitu membina masjid, persaudaraan dan membentuk persefahaman dan ini adalah legasi kepimpinan yang Baginda SAW telah tinggalkan kepada kita semua,” kata Shukri.

Turut dibuka sepanjang majlis berlangsung adalah Kaunter Suntikan Vaksin Influenza yang disediakan oleh Pusat Sejahtera USM kepada semua warga kampus dengan harga yang berpatutan.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Muhammad Taufik Abdul Rahman