USM TERPILIH SEBAGAI UNIVERSITI PERTAMA DI MALAYSIA TERAJUI KURSI UNESCO SDG6 BAGI RANTAU ASIA-PASIFIK

USM TERPILIH SEBAGAI UNIVERSITI PERTAMA DI MALAYSIA TERAJUI KURSI UNESCO SDG6 BAGI RANTAU ASIA PASIFIK 1

PULAU PINANG, 5 Disember 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) telah terpilih sebagai universiti pertama di Malaysia menerajui Kursi UNESCO berkaitan “Ecohydraulics for Sustainable Water Infrastructures for SDG 6 in the Asia and the Pacific Region”.

Ini merupakan Kursi UNESCO pertama di USM dan berpusat di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar USM (REDAC) selama 4 tahun.

Dengan terpilihnya USM mengetuai Kursi UNESCO ini, sudah pasti Universiti akan mengorak langkah ke arah menjadi hab pendidikan dan penyelidikan antarabangsa berkaitan infrastruktur air secara lestari.

USM secara keseluruhannya akan memberi tumpuan terhadap keadaan di rantau Asia-Pasifik, dalam menangani isu berkaitan memenuhi keperluan air bersih yang akan memberi impak kepada lebih 663 juta penduduk.

SDG6 merujuk kepada ‘Sustainable Development Goal #6’ yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015, yang mana ianya menekankan isu berkaitan Air Bersih dan Sanitasi, dengan pernyataan misi (mission statement) untuk "Memastikan ketersediaan serta kelestarian pengurusan air dan sanitasi untuk semua."

USM TERPILIH SEBAGAI UNIVERSITI PERTAMA DI MALAYSIA TERAJUI KURSI UNESCO SDG6 BAGI RANTAU ASIA PASIFIK 2

Pemilihan bagi “Kursi” ini dibuat hasil dari kertas cadangan yang telah diserahkan, yang seterusnya mendapat penilaian yang positif dari Jawatankuasa Pemilihan, seperti yang dinyatakan dalam emel dari Ketua UNESCO (Bahagian Pendidikan Tinggi), Peter Wells yang beribu pejabat di Perancis.

REDAC, yang terletak di Kampus Kejuruteraan USMdi Nibong Tebal, diketuai oleh Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang juga adalah Pengarah Kampus tersebut.

Kewibawaan pusat ini terserlah apabila terlibat dengan penyelidikan berkaitan Pengurusan Lestari Saliran Banjir Bandar sejak tahun 1997 dan telah diiktiraf sebagai sebuah HiCOE (Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi) pada tahun 2014.

Buat masa ini, ia terlibat dengan pelbagai projek mega secara kolaborasi bersama rakan strategik dalam negara mahupun luar negara dari sektor awam dan swasta.

Apabila ditanya mengenai pemilihan tersebut, Nor Azazi berkata ia membawa banyak manfaat kepada USM and juga negara apabila dipilih sebagai hos bagi kursi antarabangsa yang berprestij, dan ini pastinya akan meningkatkan lagi usaha kolaborasi antarabangsa secara agresif berkaitan jaminan/sekuriti air serta kelestarian infrastruktur air di peringkat nasional mahupun global.

"Walaupun Malaysia dianggap sebagai sebuah negara yang melaksanakan usaha pengurusan air secara berkesan, dengan 92% rakyat Malaysia menerima khidmat sumber air yang selamat dan 82% menerima khidmat sanitasi yang baik, kita masih terdedah kepada risiko sekiranya sumber penting ini tidak diurus sebaik mungkin.

"Air adalah keperluan asas manusia dan merupakan elemen yang sangat penting dalam mana-mana ketamadunan, dan semua kehidupan di muka bumi ini berhak memperolehinya. Namun begitu, masih terdapat pihak yang terpinggir dan telah 'tersisih' dari menikmati bekalan air bersih dan sanitasi.

Dengan menerajui kursi ini, kami berharap untuk mengatasi halangan ini demi memastikan penyaluran bekalan air yang lebih meluas serta tiada pihak yang akan ketinggalan," kata beliau.

Tambah beliau lagi, dengan setiap 1 dalam 9 orang penduduk dunia yang tidak mempunyai akses kepada bekalan air, perlu ada kaedah pemantauan dan pengawalaturan yang lebih berkesan terhadap penyaluran dan keselamatan air, bagi menjamin agar krisis ini tidak akan menjejaskan bekalan air kepada negara-negara di serata dunia.

Beliau juga menyatakan bahawa 15% dari bekalan air masa kini yang diperolehi dari jumlah hujan tahunan (dengan 85% dari air tersebut mengalir ke laut) dalam negara, 67% digunakan dalam sektor pertanian bagi penghasilan makanan dan hanya 33% boleh digunakan sebagai bekalan air tersimpan untuk kegunaan industri dan domestik.

Persetujuan yang termeterai di antara kedua-dua pihak baru-baru ini ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay.

Menurut persetujuan ini, kursi yang telah diwujudkan bertujuanuntuk memenuhi objektif menyumbang kepada keseluruhan pencapaian matlamat (goals) – dari segi sosial, ekonomi dan budaya. Lebih spesifik lagi, objektifnya adalah seperti berikut:

  1. Untuk meningkatkan kefahaman tentang ‘Ecohydraulics’, dan seterusnya menaik taraf pendekatan tempatan masa kini berkaitan Pengurusan Sumber Air Secara Bersepadu dan Lestari. 
  2. Untuk berkongsi pengalaman dan kaedah pengurusan terbaik tentang pengurusan risiko berkaitan iklim melalui maklumat yang telah diperolehi dari pelbagai kajian kes di rantau Asia dan Pasifik, termasuk pengurangan risiko bencana dan penilaian ancaman terhadap iklim, di samping pendidikan berkaitan air di pelbagai negara, khususnya kurikulum pengurusan air. 
  3. Untuk mewujudkan platform khusus bagi kolaborasi dan kerjasama di rantau Asia Pasifik serta kawasan lain, dalam usaha mewujudkan Jaringan Sains (Science Network) yang kukuh dan efisyen bagi menyokong pelaksanaan SDG 6 dalam Agenda 2030 secara khusus. 
  4. Untuk menambah baik dialog polisi sains dan membentuk cadangan atau polisi yang sesuai bagi meningkatkan tahap keselamatan bekalan air di dalam negara. 
  5. Untuk mewujudkan Jaringan Sains (Science Network) yang kukuh dalam mempromosi interaksi, latihan, perkongsian ilmu, aktiviti bersama, serta sebagai agen transformasi bagi meningkatkan kualiti hidup di kawasan bandar dengan menyediakan sistem pengurusan air yang lestari. 
  6. Untuk mempromosikan penyelidikan saintifik dan kajian di tahap pendidikan tinggi berkaitan bidang Pengurusan Sumber Air dalam usaha mengembangkan bakat. 

Terjemahan: Mazlan Hanafi Basharudin

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI