Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM-WESTERN DIGITAL TUBUH CiA, KUKUHKAN KERJASAMA PENYELIDIKAN DAN TEKNOLOGI

WhatsApp Image 2021 01 17 at 09.34.02

Dari kiri: En. Vishwanath Ramaswamy (Pengurus Besar Tapak, Western Digital); En. KL Bock (Naib Presiden, Operasi Global, Western Digital); Prof. Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan (Naib Canselor, USM); Prof. Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed (Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan & Inovasi, USM)

Makmal USM-WD CiA berlokasi di dalam premis kilang Western Digital di Batu Kawan, Pulau Pinang – inisiatif yang pertama seumpamanya di Malaysia

USM, PULAU PINANG, 17 Januari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Western Digital (WD) baru-baru ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi mengukuhkan lagi jalinan kerjasama penyelidikan dan pembangunan teknologi melalui penubuhan Pusat Inovasi dan Automasi (CiA) di dalam premis kilang Western Digital di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Penubuhan CiA sebagai hab teknologi eksklusif itu bertujuan untuk membolehkan kedua-dua organisasi memberi tumpuan kepada memacu Industri 4.0 (IR4.0) dalam reka bentuk dan pembangunan, pembentukan prototaip dan penjanaan harta intelek (IP).

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, projek itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia sekaligus meletakkan USM sebagai 'universiti dalam industri' untuk membolehkan pensyarah dan pelajar menerima pengalaman langsung dalam melengkapkan diri menjadi 'industry-ready'.

Katanya, selain itu, segala pembiayaan termasuk pembelian peralatan penyelidikan, penyelenggaraan dan penajaan pelajar adalah ditanggung oleh Western Digital sendiri, serta perkongsian harta intelek (IP) bagi segala IP yang dihasilkan di bawah penyelidikan ini.

“Kerjasama dengan Western Digital sebagai peneraju infrastruktur data, tepat pada masanya yang mana pelajar PhD terpilih juga akan menikmati peluang berkenaan.

"Apa yang dipelajari di makmal kini dapat diubah, dipindahkan dan diterapkan dalam senario dunia nyata. Ia pasti akan membawa nilai tambah dan meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor industri," katanya dalam majlis penandatanganan MoA yang berlangsung dua hari yang lalu.

Faisal Rafiq dan Timbalan Naib Canselor, Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed menandatangani MoA itu bagi pihak USM, manakala Western Digital diwakili Naib Presiden, Operasi Global, KL Bock dan Pengurus Besar Tapak, Vishwanath Ramaswamy.

Hadir juga ialah Pengarah Kejuruteraan Pembangunan Automasi, Western Digital, PK Hew dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Suandi, yang kedua-duanya memainkan peranan penting secara langsung dalam penubuhan makmal CiA itu.

Sementara itu, Bock berkata, kerjasama ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pemain industri terkemuka dan komuniti akademik, malah menyatukan fikiran serta bakat bagi mendorong kemajuan teknologi pembuatan.

"Kerjasama dengan USM akan mendorong usaha kami dalam bidang 'Lights Out Automation' bagi mencapai operasi yang tahan lasak dalam persekitaran dinamik serta keuntungan besar daripada segi produktiviti dan kualiti.

"Ia mencerminkan komitmen berterusan terhadap masyarakat dalam pengembangan bakat tempatan, kemampuan industri dan pemindahan bersama teknologi," katanya.

Turut mengikuti majlis tersebut secara Webex ialah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Dr. Awang Adek Hussin; Pengerusi Kumpulan Operasi, Western Digital; Datuk Dr. Syed Hussian Aljunid; wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), wakil industri, pegawai-pegawai utama USM dan Western Digital.

WhatsApp Image 2021 01 17 at 09.34.01

Sebagai rekod, USM telah pun menjalinkan kerjasama bersama syarikat gergasi elektronik multinasional, Western Digital sejak awal penubuhan syarikat itu di Batu Kawan melalui penempatan latihan industri, penganjuran minggu kerjaya, pengambilan staf dan kolaborasi penyelidikan.

WhatsApp Image 2021 01 16 at 09.20.06

Text: Tan Ewe Hoe/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Mohd Fairus Md Isa