Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SIRI SYARAHAN UMUM PROFESOR: KUPASAN KAJIAN DUA PROFESOR Z

DSC 3342

NIBONG TEBAL, 24 Mac 2021 – Siri Syarahan Umum Perlantikan Profesor Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBM), Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung hari ini menyaksikan pembentangan dua orang pensyarahnya, Profesor Dr. Zulkifli Ahmad dan Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain.

Profesor Dr. Zulkifli yang merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1961 memulakan siri syarahan beliau yang berkaitan dengan Polisiloksana,  elastomer tak organik, bersifat termal tinggi dan boleh diregangkan di dalam Elektronik.

Melalui syarahan ini, Zulkifli, seorang Profesor bidang Sintesis Polimer membincangkan tentang penggunaan polisiloksana di dalam beberapa peranti elektronik yang mana ianya merupakan sebahagian daripada kajian yang telah dijalankan oleh beliau selama ini.

DSC 3272

DSC 3261

Menurut bapa kepada lima orang cahaya mata ini, bahan ini boleh digunakan untuk fabrikasi corak menggunakan kaedah litografi lembut dan juga fabrikasi pemandu gelombang setelah mengambil kira sifat lutsinarnya pada julat sinaran ultraungu.

Sepanjang sesi syarahan, Zulkifli turut menyatakan sifat istimewa bahan ini membolehkannya untuk menghasilkan antena teregang, riak dan ianya boleh dikesan pada bidang jalur lebar yang mana akhirnya dakwat pengalir arus akan terhasil.

Bagi sesi yang kedua, Profesor Ir. Ts. Dr. Zuhailawati Hussain yang juga merupakan profesor di dalam bidang Metalurgi dan Komposit Logam ini pula membentangkan tajuk syarahan beliau yang bertajuk Bahan Aloi dan Komposit Matriks Logam, Ke Arah Industri Pembuatan Logam Yang Lestari.

Berasal dari Kuala Lipis dan dibesarkan di Raub, Pahang, Zuhailawati mengupas akan pembangunan bahan aloi dan komposit matriks logam yang baharu, asli dan lestari menggunakan kaedah pembuatan mesra alam untuk pelbagai penggunaan yang akan memanfaatkan manusia kerana prestasi  dan ciri uniknya.

DSC 3314

DSC 3253

Zuhailawati dalam pembentangan beliau menyatakan bahawa penghasilan produk akhir menerusi kaedah metalurgi serbuk akan turut mengurangkan sisa bahan bagi menjadikan industri pembuatan logam lebih lestari dari aspek ekonomi dan alam sekitar.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa kesesuaian proses serbuk ini untuk diautomasi menerusi mesin tersambung intenet pastinya akan menjadikan sektor pembuatan industri logam negara lebih bersedia dalam menerima Revolusi Industri 4.0.

Tambah Zuhailawati, pemilihan, formulasi, mikrostruktur dan fabrikasi aloi dan komposit ini adalah untuk mencipta potensi masa kini serta masa depan tanpa menjejaskan keupayaan mahupun keperluan generasi-generasi di masa akan datang.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman