Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MENUNTUT ILMU BUKAN SEKADAR MARKAH DAN NILAI PNGK - PENERIMA PINGAT EMAS CANSELOR

262910910 4694597210601275 5815116779031381259 n

NIBONG TEBAL, 16 Disember 2021 – “Ketidaksefahaman dengan pensyarah itu adalah sebahagian daripada perjalanan kita dalam menuntut ilmu dan sentiasalah berpegang teguh dengan pendirian diri walaupun itu akan memicu perdebatan”

Berikut adalah kata-kata Khaw Teng Kang, Graduan Kejuruteraan Mekatronik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang telah menerima Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) sempena Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) yang bermula dengan Sidang 1 pada 2 Disember 2021 di Istana Arau, Perlis baru-baru ini.

“Pendekatan saya dalam menuntut ilmu mungkin berbeza, pertama sekali kerana saya berpendapat bahawa Human is very good at gaming the system.

“Jika kita terlalu fokus untuk menyelaraskan alur kerja berdasarkan kepada skema yang sedia ada sahaja, maka sebenarnya kita telah hilang makna pembelajaran itu sendiri.

263144004 409103510892633 721787500628466853 n

 

“Apatah lagi, jika terlalu fokus untuk mendapat markah yang paling tinggi sahaja bukanlah cara pembelajaran yang mampan, sebaliknya fokuslah kepada mengejar ilmu pengetahuan sehingga kita mencapai pemahaman melebihi kehendak pembelajaran sedia ada,” kata Khaw.

“Kedua, challenging the establishment is a virtue, not a vice, malah, sumber kebenaran mutlak bukanlah hak satu pihak sahaja.

“Sebagai pelajar, kita perlu berani dalam menzahirkan pendapat masing-masing walaupun ia akan bercanggah dengan apa yang telah pelajari di dalam kelas demi ilmu pengetahun dan bukannya mengejar markah serta nilai PNGK semata,” kata anak kelahiran Selangor ini.

“Namun demikian, perdebatan yang bertujuan untuk mencari kebenaran dalam ilmu pengetahuan itu janganlah kita sia-siakan dengan bercakap kosong tanpa asas yang kukuh semata-mata,” tambah beliau.

262840247 409103064226011 3681925673600051051 n

“Menurut Khaw, sebelum menyuarakan buah fikiran kepada pensyarah, kita sebagai pelajar perlu melakukan ulang kaji akan topik tersebut terlebih dahulu.
“Perkara ini adalah demi mewujudkan sokongan kepada pendirian kita kepada pensyarah tersebut dan mengelak daripada ia menjadi perdebatan yang sia-sia,” tambah anak sulung daripada dua orang adik beradik ini.

Selain daripada itu, perkara yang paling penting menurut beliau adalah adab ketika perbincangan itu berlangsung, jangan lupa bahawa kita adalah penuntut ilmu dan pensyarah adalah pemberi ilmu, kekalkan rasa hormat yang tinggi walaupun dalam perdebatan.

“Oleh kerana inilah saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pensyarah-pensyarah yang sentiasa bersabar dengan kerenah saya selama ini, jasa pensyarah tidak akan pernah saya lupakan,” kata beliau yang sangat mengagumi tokoh kepada Model Heliocentrism, Galileo Galilei ini.

262802557 409107160892268 7294258470757184684 n

Mengakui terkejut apabila dianugerahkan pingat seunggul ini, Khaw yang merupakan anak kepada pengendali pengorek-kaut dan suri rumah sepenuh masa ini juga berbangga kerana ini adalah bukti bahawa pihak universiti mengiktiraf usaha serta cara beliau dalam mengejar ilmu walaupun agak berbeza daripada pelajar-pelajar yang lain.

“USM ini sendiri umpama tempat yang penuh dengan peluang yang terbuka dan sentiasa mengalu-alukan pembangunan diri pelajar sama ada dalam akademik atau insaniah.

“Paling penting, saya telah menemui ramai orang hebat di sini yang telah membentuk cara pemikiran serta falsafah hidup saya pada hari ini dan ia akan sentiasa ada tempat istimewa di hati saya,” kata Khaw di akhir perbualan.

Teks : Siti Faizah Abd Halim