10 PEMAIN BOLING TERBAIK TERPILIH MEWAKILI USM DI SUKUM 2022

DSC 2349

 

PERAI, 10 Ogos 2022 - 10 orang pemain boling terbaik berjaya terpilih dan bakal beraksi mewakili Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) 2022 yang akan diadakan pada bulan September akan datang.

Sesi Pemilihan yang dijalankan di Megamall Pinang baru-baru ini menyaksikan penyertaan daripada 27 peserta yang terdiri daripada 18 peserta lelaki dan Sembilan peserta perempuan dari tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kejuruteraan dan Kampus Kesihatan.

Sesi ini juga turut mendapat sokongan daripada Pengarah Kampus kejuruteraan, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang hadir bersama isteri yang berharap agar pasukan USM dapat membawa pulang sasaran iaitu lima dari 10 yang akan dipertandingkan.

DSC 2387

DSC 2587

Selain daripada itu, Azazi turut melemparkan pujian kepada pasukan boling USM yang mana menurut beliau merupakan antara pasukan hebat yang akan dipertaruhkan sepanjang kejohanan tahunan ini nanti.

Menurut beliau, perkara ini dapat dilihat bukan sahaja melalui komitmen yang telah ditunjukkan oleh semua pemain, tetapi juga penglibatan manta-mantan pemain di mana mereka ini walaupun sudah bersara tetapi masih hadir demi semangat kesukanan serta berpasukan masing-masing.

DSC 2457

10 pemain terbaik yang terpilih dalam sesi pemilihan kali ini adalah Arief Ramadhan Juswa dari Kampus USM Induk, Mohd Syafiq Mohd Sukari (Induk), Afnan Munir Abdul Manan (Induk), Mohd Nurul Azrol Mohd Yusoff (Kejuruteraan) dan Rosliza Haron (Kesihatan) bagi kategori lelaki manakala bagi kategori wanita adalah Norashikin Alladdin (Induk), Nor Zainah Bahari (Kejuruteraan), Mar’iyah Abd Malek (Kesihatan), Noraini Md Zain (Kesihatan) dan Che Suhailah A Rahman (Kesihatan).

DSC 2681

Melalui sesi pemilihan yang telah dijalankan, setiap pemain perlu bermain sebanyak 12 game yang dibahagikan kepada dua blok dan lima pemain terbaik di dalam kategori wanita dan lelaki dengan jatuhan pin keseluruhan tertinggi akan menempah tempat dan mewakili boling USM di SUKUM kali ke-44 nanti.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman