PUSTAKAWAN MAIN PERANAN PENTING DALAM INTEGRITI DATA PENERBITAN – NC

DSC 2903

NIBONG TEBAL, 11 Ogos 2022 – Perpustakaan adalah nadi dan jantung sebuah universiti manakala peranan yang dimainkan oleh Pustakawan dalam memastikan integriti setiap data penerbitan juga adalah sangat penting.

Berikut adalah seperti apa yang dinyatakan oleh Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan ketika hadir merasmikan Ruang Pembelajaran Kolaboratif dan Ruang Pembelajaran Kendiri di perpustakaan kampus hari ini.

“Perpustakaan adalah nadi dan jantung sebuah Universiti di mana selain fungsi hakikinya, ia turut memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam mengurus penghasilan ilmu melalui aktiviti penerbitan,” kata Faisal Rafiq.

“Data-data indeks penerbitan yang dihasilkan oleh Pensyarah dan Penyelidik Universiti perlu diurus dengan sempurna dan tepat, apatah lagi maklumat ini akan dinilai bagi menentukan kedudukan ranking Universiti dalam aspek jumlah penerbitan, citation serta kedudukan universiti seperti MyRA, QS Ranking dan juga WoS,” tambah beliau.

DSC 2842

DSC 2818

Menurut Pemangku Ketua Pustakawan USM, En. Mohd Nasir Md Rashid, cabaran ketika pandemik telah meninggalkan impak yang besar serta proses transformasi yang agak drastik kepada perpustakaan terutamanya dari aspek penyampaian perkhidmatan.

“Sepanjang proses ini, perpustakaan telah menyediakan pelan Perancangan Strategik 2022-2024 yang secara langsung menyokong Pelan Strategik Universiti 2022-2024 sambil merangka strategik initiatif yang perlu digerakkan bagi mencapai tujuannya,” kata Mohd Nasir.

“Antaranya adalah dengan mengadaptasi konsep Library 4.0 dengan berusaha menyediakan keperluan ruang dan perkhidmatan yang disesuaikan dengan kemajuan teknologi.

DSC 2840

DSC 2916

“Perkara ini seterusnya membawa beberapa penambaikan, bukan sahaja ruang pembelajaran kolaboratif dan kendiri yang dirasmikan hari ini, malah ruang untuk perkhidmatan sokongan penyelidikan, ruang experimental learning, educational mall, content creation, Teknologi AI dan AR terkini seperti meta verse, makerspace dan lain-lain lagi,” tambah beliau.

Timbalan Ketua Pustakawan Kejuruteraan, Puan Radia Banu Jan Mohamad pula dalam ucapan beliau menyatakan bahawa ruang kolaboratif ini asalnya merupakan penempatan bahan tesis dan dinaik taraf bagi memenuhi keperluan untuk kegunaan pengguna Perpustakaan.

“Siap sepenuhnya pada tahun 2020 dengan fasiliti akses WIFI, soket elektrik untuk penggunaan gajet serta dilengkapi dengan perabot yang berkonsep ruang pembelajaran fleksibel untuk kemudahan pembelajaran dan pengajaran, ianya boleh memuatkan sebanyak 70 tempat duduk” kata Radia.

DSC 3064

DSC 3094

“Ruang Pembelajaran Kendiri di tingkat dua pula asalnya merupakan Bilik Karel Individu berpintu yang telah dinaik taraf dengan konsep terbuka dan dapat memenuhi keperluan pengguna Perpustakaan,” tambah beliau.

Menurut Radia lagi, jumlah unit yang dinaiktaraf secara keseluruhan adalah lapan bilik tanpa pertukaran perabot dan ruang Pembelajaran Kendiri ini juga telah dibuka semula kepada semua pihak pada 20 April 2022 yang lalu.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman.