Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

USM INGIN PERKASA APEX DAN BERI IMPAK KEPADA KOMUNITI

IMG 1264

USM PULAU PINANG, 3 Januari 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk memperkasakan usaha memberi impak kepada komuniti melalui usaha-usaha yang dilakukannya.

Dalam sidang media sempena pelantikan sebagai Naib Canselor, Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM perlu meneruskan agenda Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2008 dengan berfokuskan kepada membantu komuniti melalui pelbagai usaha yang dibuat termasuk penyelidikan dan inovasi.

Beliau menggantikan Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menjadi Naib Canselor pada Oktober 2019 sehingga hujung 2022 lalu.

"USM akan melihat inisiatif-inisiatif yang dilakukan untuk membantu pembangunan negara dan melakukan perubahan sosio-ekonomi komuniti di samping agenda-agenda lain yang sedia ada," kata Abdul Rahman.

Jelasnya, usaha yang dibuat lebih berfokus kepada inovasi sosial dengan penyelidikan berteraskan kepada keperluan komuniti untuk membolehkan mereka mendapat impak daripada usaha yang dibuat.

Menurut beliau lagi, tumpuan juga akan diberi kepada usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan sehingga mencapai peratusan penuh melalui pendedahan pelajar kepada industri dan memenuhi keperluan bakal majikan masa hadapan.

"Hal ini termasuklah menyediakan peluang latihan dan internship setahun di industri terutamanya dalam kalangan pelajar kejuruteraan atau mengadakan projek yang panjang dengan industri untuk mendapat impak yang tinggi.

"Mereka iaitu pelajar perlu didedahkan kepada usaha melangkaui bilik kuliah untuk tujuan tersebut," tegas beliau.

Menurut Abdul Rahman, USM akan lebih memberi perhatian kepada libat sama dengan semua pihak yang berkepentingan dengan universiti.

Teks: Mohamad Abdullah