Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

PROGRAM ROTG TAWAR PERKHIDMATAN KHUSUS PERPUSTAKAAN USM UNTUK KONSULTASI PELBAGAI

rotg1

NIBONG TEBAL, 21 November 2022 – Inisiatif Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program Research on The Go with USM Library (ROTG) akan memberikan perkhidmatan konsultasi pelbagai modul literasi maklumat dan sokongan penyelidikan pelanggan di universiti.

ROTG yang pertama kali diadakan di Tetupai Lounge, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kampus Kejuruteraan ini akan membantu dalam kerja-kerja penulisan akademik serta penyelidikan pelanggan perpustakaan USM seperti pelajar ijazah, ijazah lanjutan, penyelidik dan juga pensyarah.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Profesor Dr. Mohd Suffian bin Yusoff yang hadir merasmikan program ini menyatakan sokongan beliau di atas perkhidmatan ini dan berharap ianya dapat membantu pelajar untuk bergraduasi secara On Time.

“Peluang untuk menggunakan ROTG melalui perkhidmatan how to get the literature, how to write the thesis dan how to explore your research diharap akan menjadi dorongan untuk mereka menghasilkan tesis yang terbaik dengan memanfaatkan setiap ilmu yang akan dikongsikannya,” kata Suffian.

“Pengalaman peribadi saya semasa bergelar pelajar dahulu semestinya berbeza kerana untuk mendapatkan maklumat penyelidikan pada ketika itu, perlu melalui satu proses menghantar poskad atau surat kepada semua penyelidik, pensyarah terlebih dahulu.

“Dengan kemudahan yang disediakan oleh perpustakaan ini, semestinya tiada lagi alasan untuk anda sebagai seorang pelajar menangguhkan pengajian, apatah lagi 12 orang pustakawan USM akan turut terlibat sebagai fasilitator dalam misi menjayakan program ini nanti,” tambah beliau.

rotg2

Timbalan Ketua Pustakawan Kampus Kejuruteraan, Puan Radia Banu Jan Mohamad, berkata, melalui program di Tetupai Lounge hari ini, pustakawan USM akan turun padang bertemu dengan para pelajar untuk mengetahui keperluan serta bantuan khusus yang boleh ditawarkan secara langsung kepada mereka yang hadir.

rotg3

rotg4

“Perkara ini bertepatan dengan salah satu daripada objektif program iaitu untuk mendekatkan perkhidmatan Perpustakaan kepada warga USM melalui aktiviti atau program secara langsung di lokasi tumpuan masing-masing,”.

“ROTG juga diharap akan menjadi medium kepada perpustakaan untuk menjalin dan memupuk kerjasama strategik dengan Pusat Pengajian, Pusat Tanggung Jawab dan Pusat Kecemerlangan dalam memberikan perkhidmatan sokongan akademik serta penyelidikan kepada warganya,” kata Radia.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dengan sokongan dalam menyediakan ruang yang cantik serta kondusif dan berharap program ini dapat dianjurkan lagi di masa akan datang,” kata Radia.

Sebanyak 10 modul ditawarkan untuk sesi konsultasi ROTG iaitu Literature Search (Beginner & Advanced, Thesis Formatting with Microsoft Word, Thesis Formatting Template, Mendeley, Google Scholar, Research Data Management, Open Access Publication, Publishing Strategy, Researcher Profiles dan Google Drive.

Teks: Suzana Abdul Rahman/Foto: Ihsan Perpustakaan Kampus Kejuruteraan USM