MUSA ALI TERIMA ANUGERAH KHAS MASTI (INDIVIDU) 2022

A28F3399 3E4B 4C36 A1F2 BD780F81F1A0

PULAI, 20 Ogos 2022 - Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM), Dato’ Dr. Hj. Musa Ali kelmarin menerima pengiktirafan daripada Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) apabila dianugerahkan Anugerah Khas MASTI (Individu) 2022 sempena Hari Pentadbir Universiti Awam 2022 di Majlis Anugerah Gemilang MASTI (MAGMA).

Musa Ali yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam (JKPUA) Malaysia turut menyampaikan ucaptama sesi ketiga di Konvensyen dengan tajuk Memimpin Pentadbir Universiti Ke Arah Mencemerlangkan Organisasi.

Majlis Perasmian Konvensyen Pentadbir Universiti Awam 2022 dan Ucaptama sesi pertama telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato' Sri Mohd Shafiq Abdullah, pada 18 Ogos 2022.

Beliau berkata masa hadapan kini dilihat tidak menentu dengan cabaran seperti ketidakstabilan ekonomi global, ancaman perubahan iklim, jaminan makanan, perubahan demografi seperti masyarakat menua serta penularan wabak dan cabaran kesihatan awam.

“Dalam mendepani ketidaktentuan ini, persediaan rapi wajar dilakukan dengan penekanan kepada penyediaan perkhidmatan yang kukuh, holistik dan kalis masa hadapan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata tema konvensyen “Pentadbir Cemerlang Mencipta Masa Depan Yang Gemilang” bertepatan dengan dasar kerajaan dan persekitaran dalaman organisasi yang menuntut perubahan dan perkembangan teknologi semasa. 

Konvensyen anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Jawatankuasa Pendaftar Universiti Awam Malaysia (JKPUA) itu, berlangsung selama dua hari.

Edisi kali ini yang merupakan kali keempat ini telah menyediakan platform kepada para pentadbir untuk menjana idea selain membentangkan penyelidikan dan kajian kes mengikut skop amalan terbaik pengurusan dan tadbir urus di organisasi masing-masing.

Kali ini, peserta Konvensyen terdiri daripada Para Pendaftar dan Para Pentadbir UA yang seramai 200 orang. Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia disambut setiap tahun pada tanggal 20 Ogos.

Sementara itu, seorang lagi pentadbir USM yang menerima penganugerahan adalah Tahniah Ts Dr. Mohamed Azlan Bin Ashaari yang menerima Anugerah Pentadbir Gemilang MASTI bagi (Penulisan Sosial) - Perak dan (Penyelidikan) Skim lain-lain - Gangsa.

Teks : Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto : Ebrahim Abdul Manan