Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TUJUH PEGAWAI MERUPAKAN GRADUAN SULUNG JBPM DALAM PROGRAM SARJANA SAINS KEJURUTERAAN KESELAMATAN KEBAKARAN

DSC 0219 2

PULAU PINANG, 5 Disember 2022 – Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan Universiti Awam (UA) pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan program pengajian di peringkat Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran.

Pada Sidang 3, Upacara Konvokesyen Ke-60 USM, yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) di sini hari ini, kumpulan pertama tujuh (7) orang pegawai daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima Ijazah mereka daripada Pro-Canselor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur.

Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat yang menjalankan fungsi Naib Canselor USM, menyampaikan ucapan tahniah beliau secara langsung ketika hadir meraikan tujuh (7) graduan program tersebut selepas upacara konvokesyen sidang 3 di Dewan Tuanku Syed Putra hari ini.

Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang sama-sama hadir dalam majlis tersebut pula berkata bahawa pengijazahan ini adalah bukti kepada komitmen USM untuk memperkasakan keupayaan profesional negara melalui bidang-bidang seperti ini.

Beliau turut berharap agar program kerjasama ini akan terus melahirkan graduan-graduan hebat dalam membuktikan bahawa Malaysia mempunyai kepakaran yang setanding dengan negara-negara luar lain dalam bidang Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran.

USM dan JBPM sebelum ini telah telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua institusi yang berfokuskan kepada konteks pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran khususnya dalam bidang kejuruteraan keselamatan kebakaran bagi menggubal silibus dan kurikulum di peringkat sarjana.

Salah seorang graduan yang merupakan Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru, Azrul Khairi Abu Bakar, 42, berkata, ijazah sarjana ini akan mencipta satu ruang baharu untuk beliau dan rakan-rakan dalam meningkatkan kemahiran dalam aktiviti kebombaan dan aplikasi jabatan.

Apatah lagi ijazah ini diperolehi dengan sokongan penuh daripada JBPM yang telah mewujudkan peluang di samping memberikan sokongan penuh dari segenap segi dalam memastikan kakitangannya dapat menyambung dan menamatkan pengajian di USM.

Pegawai Penguasa Bomba Zon 2 Bayan Lepas dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru Mohd Rizwan Ramli, 40, dan Penguasa Bomba dari JBPM Putrajaya Aidil Adlee Che Mee, 30, pula, kemahiran serta ilmu pengetahuan yang diperolehi akan menjadi satu nilai tambah yang boleh diimplimentasikan di jabatan masing-masing kelak.

Malah, Aidil turut berharap agar kejayaan ini menjadi inspirasi serta mendorong kepada lebih ramai pegawai bomba di luar sana untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana Sains Kejuruteraan Keselamatan Kebakaran USM ini.

Menurut beliau, manfaat dalam bergelar pelajar dan pegawai bomba itu sendiri yang semestinya berbeza daripada penuntut yang lain di mana mereka diberi keutamaan serta akses yang tidak terhad kepada kemudahan di Pusat Penyelidikan Kebombaan (PUSPEK) sahaja, malah data-data lanjutan yang perlu digunakan sepanjang tempoh pengajian juga.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman