KEJOHANAN SUKUM 2022, 136 PINGAT EMAS JADI TARUHAN!

DSC 6331

SERDANG, 17 September 2022 – Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2022 yang diadakan dari 17 hingga 24 September 2022 akan menyaksikan sejumlah 139 keseluruhan pingat emas menjadi taruhan serta rebutan 3976 atlet yang bertanding.

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian dalam ucapan perasmiannya dan berharap agar SUKUM menjadi medan dalam mengukuhkan silaturahim dan ukhuwah di samping menambah luas jaringan sosial antara universiti di negara ini.

“Kejohanan seperti ini adalah permulaan penerokaan kepada usaha meningkatkan prestasi pendidikan tinggi yang boleh dijayakan secara rentas institusi negara,” kata beliau.

DSC 6316

DSC 6286

“Melalui program ini juga, kita akan dapat melihat semua atlet mempamerkan disiplin serta semangat kesukanan yang tinggi dan tidak memperlihatkan perspektif menang atau kalah semata-mata, sebaliknya hargai kejohanan ini sebagai wadah untuk kita menyemarakkan budaya sukan, meraikan kejayaan serta memberi penghormatan kepada sesama warga universiti di dalam Malaysia,” tambah Datuk Dr. Megat Sany.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ir. B.T. Hang Tuah Baharudin, memandangkan kejohanan ini adalah yang pertama diadakan selepas pandemik, ia akan menjadi suatu yang paling bermakna kepada semua atlet yang terlibat.

“Dengan penyertaan terbesar 21 kontinjen termasuk dari Kementerian Pengajian Tinggi, SUKUM kali ini akan mempertandingkan 18 acara secara keseleluruhan dan selain atlet, ia turut melibatkan penglibatan 400 orang sukarelawan,” kata beliau.

DSC 6244

DSC 6502

“Seperti yang kita sedia maklum, sukan merupakan ejen yang amat penting dalam menuju ke arah perpaduan nasional serta semangat kekeluargaan sesebuah institusi itu sendiri.

“Penyertaan di dalam sukan pula adalah penting kerana ia dapat meningkatkan indeks kebahagiaan staf dan seterusnya mendukung mereka untuk berkhidmat dengan lebih gigih serta efektif dalam menyampaikan tugasan kerja hakiki masing-masing,” tambah Profesor Dr. Hang Tuah.

Ketika diminta mengulas akan penglibatan Universiti Sains Malaysia (USM) kali ini, Ketua Kontinjennya, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria menyatakan harapan beliau untuk menyaksikan kejayaan pasukan universiti dalam membawa pulang semua pingat emas yang disasarkan.

DSC 6281

DSC 6368

“Walaubagaimanapun, saya juga bersedia menerima kemungkinan sekiranya kita tidak dapat mencapai target tinggi yang disasarkan di mana selepas hampir empat tahun temasya ini tidak diadakan, kita tidak dapat menolak kemungkinan kurangnya persediaan dalam membentuk pasukan atlet kali ini.

 “Apatah lagi kita juga hampir tidak mempunyai sebarang maklumat akan kekuatan atlet dari kontinjen dari lain yg bertanding sebelum kejohanan ini berlangsung.

“Namun begitu, sebagai ketua kontinjen, saya sudah sangat berbesar hati apabila melihat kepada komitmen yang telah ditunjukkan oleh atlet-atlet kita terutamanya ketika dalam fasa latihan sebelum kejohanan berlangsung di mana mereka giat berlatih dan all out demi mempersiapkan diri menghadapi SUKUM 2022 kali ini,” kata Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi.

DSC 6469

DSC 6408

“Memegang kata-kata hasil tidak akan mengkhianati usaha, saya juga percaya mereka mampu untuk memberi saingan yang sihat serta menjadi pencabar yang setanding dengan atlet-atlet lain di UPM kali ini,” kata beliau.

“Bukan itu sahaja, semangat yang ditunjukkan mereka ini juga menjadi satu cabaran kepada saya selaku ketua kontinjen untuk hadir dan memberi sokongan bukan sahaja ketika acara berlangsung tetapi juga untuk sentiasa bersedia dengan bantuan lain yang mungkin diperlukan mereka sepanjang lapan hari ini,” tambah beliau lagi.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman