PINGAT EMAS YANG PENUH MAKNA

DSC 1640

SERDANG, 22 September 2022 - Pingat Emas dan kemenangan ini saya dedikasikan untuk Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai hadiah setelah hampir 34 tahun berkhidmat Bersama-sama universiti!

Berikut adalah seperti yang dinyatakan oleh pemenang Pingat Emas Peranque Perseorang Veteran, Puan Sumariamah Mohd Radzi dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan ketika upacara penyampaian pingat kemenangan di sini hari ini.

“Walaupun ini bukanlah pingat emas yang pertama, namun kemenangannya membawa makna yang cukup besar dan berbeza kepada diri sendiri kerana ianya akan menjadi penyertaan serta perlawanan saya yang terakhir sebelum bersara pada bulan Jun 2023 akan datang,” kata beliau.

Mengulas akan rahsia sebalik kemenangan menewaskan calon tuan rumah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada peringkat akhir, beliau menegaskan akan pentingnya sikap merendah diri terutamanya ketika bertanding dan berada di tengah padang,” kata Sumariamah.

DSC 0929

DSC 0934

“Setiap kesilapan serta halangan yang kita hadapi sepanjang bergelar atlet ini juga harus dijadikan sempadan dalam memperbaiki diri untuk lebih baik dari masa ke semasa,” tambah beliau.

Pada waktu yang sama, Datuk Che Shamsuzuha Che Noh, Pegawai Khas Pengerusi Lembaga Gabenor USM yang turun padang melawat lokasi serta menyampaikan hadiah kemenangan perlawanan sambil diringi Ketua Kontinjen, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria turut menyampaikan ucapan tahniah beliau atas kejayaan pemain USM tersebut.

“Semangat sukan yang ditunjukkan oleh atlet-atlet kita di kejohanan ini semestinya adalah sesuatu yang luar biasa, apatah lagi ianya akan turut mendekatkan jurang silaturahim bukan sahaja sesama USM malah dengan universiti-universiti yang lain juga,” kata Datuk Shamsuzuha.

DSC 1520

DSC 1607

“Mewakili Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Kontinjen kita, Profesor Dato’ Nor Azazi yang telah berjaya mengemudi dengan cemerlang keseluruhan pasukan dalam SUKUM 2022 kali ini,” tambah beliau.

Profesor Dato Azazi ketika diminta mengulas akan kemenangan ini menyatakan kesyukuran beliau dan sangat teruja dengan pingat emas tunggal untuk acara petanque tersebut.

“Apatah lagi kita di USM sehingga kini sejujurnya masih tidak mempunyai kemudahan padang yang khusus untuk acara sukan petanque ini,” kata beliau.

“Puan Sumariamah adalah bukti bahawa dengan komitmen dan semangat dalam menjulang nama universiti, kekangan dan halangan terutamanya dari segi kemudahan latihan yang terhad adalah tidak lain hanyalah sekadar halangan yang mudah untuk kita atasi,” tambah Dato’ Nor Azazi.

Selain emas, sukan petanque juga membawa pulang dua lagi pingat gangsa bersama melalui Trio Lelaki dan Perseorangan wanita.