Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

HARI BERSAMA PELANGGAN, PERPUSTAKAAN KEMBALI DENGAN TEMA COFFEE, CHAT & CONNECT

NIBONG TEBAL, 1 November 2022 – Hari Bersama Pelanggan 2022 Perpustakaan Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia kembali semula selepas dua tahun tidak menemui pengunjung akibat wabak Covid-19 yang telah menjejaskan seluruh dunia sejak tahun 2020 yang lalu.

Program ini turut mendapat perhatian Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang hadir merasmikan program ini menyokong inisiatif yang diwujudkan dalam menarik semula minat pelajar serta masyarakat luar terhadap perpustakaan kampus.

“Selama tempoh pandemik, tidak dapat kita nafikan bahawa fungsi perpustakaan di universiti turut terkesan.

“Saya kagum dengan usaha perpustakaan untuk kembali dengan hari terbuka ini kerana ianya secara langsung akan membuka peluang kepada kedua-dua pihak untuk merapatkan semula jurang yang wujud atas kekangan untuk menjalankan aktiviti secara bersemuka sebelum ini,” kata Dato’ Azazi.

“Oleh yang demikian, saya ingin menyeru kepada semua pelajar, pengunjung serta pelanggan yang hadir hari ini untuk mengambil kesempatan di atas penganjuran Hari Bertemu Pelanggan 2022 kali ini.

“Gunakan sebaiknya setiap kemudahan yang disediakan, apatah lagi ianya adalah berlandaskan kepada keperluan serta keselesaan penggunanya disamping menyampaikan hasrat kami di USM dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif kepada semua,” tambah beliau.

Mengangkat tema Coffee, Chat & Connect, ianya adalah bagi menzahirkan penghargaan, keterujaan dan rasa sukacita pihak perpustakaan untuk kembali berhubung dengan pelanggan-pelanggannya yang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan warga kampus.

Timbalan Ketua Pustakawan Kejuruteraan, Puan Radia Banu Jan Mohamad berkata, di sebalik terbatasnya fungsi perpustakaan sepanjang pandemik Covid-29, ianya turut membuka ruang pembelajaran serta inovasi yang masih boleh dijadikan manfaat.

“Sepanjang tempoh pandemik, kami kekal memberikan perkhidmatan konsultansi rujukan, kelas literasi maklumat, dan akses maklumat secara maya kepada semua.

“Pelbagai inovasi dihasilkan oleh semua rangkaian perpustakaan USM untuk menyokong capaian maklumat secara maya disamping konsisten menyampaikan perkhidmatan serta bantuan kepada pensyarah dan pelajar yang memerlukan pada tempoh tersebut,” kata Radia.

“Namun demikian, kita juga mengakui bahawa sebuah perpustakaan yang berteraskan kepada penyampaian perkhidmatan dan maklumat sememangnya sunyi tanpa kehadiran pengunjung.

“Justeru, fasa yang sedikit longgar kali ini amatlah kami hargai untuk digunakan sepenuhnya untuk kembali berhubung dengan warga kampus di samping mewar-warkan kembali perkhidmatan serta kemudahan-kemudahan baharu yang disediakan di sini,” tambah beliau.

 Dalam majlis yang sama, turut diadakan adalah perasmian Jalinan Kerjasama Perpustakaan Kejuruteraan Bersama Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Transkrian.

Jalinan ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Perpustakaan 2022-2024 untuk berperanan sebagai hub pembelajaran yang kondusif, selamat dan mesra pelanggan di mana ianya akan memberi nilai tambah secara menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman