Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

29 SUKARELAWAN KAMPUS KEJURUTERAAN GERAK MISI BANTUAN PASCA BANJIR JOHOR 2023

PTNC23 2

JOHOR BHARU, 20 Mac 2023 - Sejumlah sukarelawan yang terdiri daripada 25 orang pelajar dan empat orang kakitangan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia terlibat dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023.

Menempuh perjalanan panjang dari Pulau Pinang ke Johor Bharu, misi yang diketuai oleh Puan Hasliza Mat Saad ini berjaya menyantuni 122 orang penduduk termasuk dua orang pelajar dari Kampus  Kejuruteraan yang turut terkesan dengan musibah tersebut.

“Misi kali ini merupakan misi pasca banjir yang ketiga bersama kumpulan pelajar di bawah Majlis Penghuni (MPD) Desasiswa Jaya Lembaran Utama, di mana misi pasca banjir sebelum ini adalah ketika banjir Pantai Timur di Bentong, Pahang” kata Puan Hasliza.

“Pasukan sukarelawan pelajar ini di gerakkan sebagai satu medium bagi menggalakkan mahasiswa serta mahasiswi untuk bersama turun padang bagi menyaksikan sendiri penderitaan yang ditanggung oleh mangsa banjir sambil membantu masyarakat yang sedang ditimba musibah.

Selain mangsa-mangsa banjir ini, yang sangat memerlukan bantuan kita sebagai rakyat bertanggungjawab, para sukarelawan juga boleh merasai sendiri pengalaman ketika di lokasi dan menjadikannya sebagai satu ibrah sambil menzahirkan rasa keinsafan dan kesyukuran atas ujian yang menimpa,” tambah beliau.

PTNC23 1

Menurut Puan Hasliza, selain daripada menjalankan khidmat pembersihan serta pencucian kediaman yang terlibat, sejumlah 20 paket sumbangan dari Warga USM dan 20 kit bantuan Maidaturrahman turut disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan.

“Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas kemurahan hati serta keprihatian Pengarah Kampus iaitu Profesor Dato’ Dr Nor Azazi Zakaria serta seluruh warga kampus yang turut sama memberikan sumbangan dan kerjasama secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kejayaan misi pasca banjir di Johor kali ini,” kata beliau.

Antara lokasi pembersihan yang terlibat sepanjang tiga hari misi dijalankan adalah Jalan Gate Air serta Jalan Hassan di Daerah Senggerang dan Sekolah Kebangsaan Seri Mendapat di Daerah Parit Yaani, Johor Bahru.

Misi bantuan pasca banjir kali ini turut mendapat kerjasama daripada beberapa pihak seperti MPD Jaya Lembaran Utama Kampus Kejuruteraan, Koperasi KKSSK Pulau Pinang Berhad, Southern Volunteer Team, Majlis Perbandaran Batu Pahat, Majlis Perbandaran Muar, Pejabat Menteri Besar Johor dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

Teks: Siti Faizah Abd Halim

Foto: Ihsan Sukarelawan Misi Bantuan Pasca Banjir Johor 2023