Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SISWA SISWI BAHARU DISERU UNTUK MANFAATKAN SEPENUHNYA PELUANG DI USM

NIBONG TEBAL, 12 Oktober 2022 - Mahasiswa serta mahasiwi baharu Universiti Sains Malaysia (USM) diseru untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh universiti sepanjang  mereka mengikuti pengajian di sini nanti.

Berikut adalah seperti dinyatakan oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Professor Dato’ Dr. Gs. Narimah Samat di Majlis Sambutan Siswa Lestari USM sidang akademik 2022/2023 di sini hari ini.

“Banyak peluang yang disediakan di universiti untuk diambil kesempatan oleh pelajar di sini, seperti program keusahawanan dan Pitch@USM contohnya, yang menjadi saluran kepada idea-idea hebat pelajar dalam bidang dalam keusahawanan,” kata Profesor Dato’ Narimah.

“Malah, melalui program ini, universiti turut bersedia memberi serta menyediakan peruntukan untuk mahasiswa dan mahasiswi kita melaksanakan impian mereka masing-masing,” tambah beliau yang menjalankan fungsi Naib Canselor ini.

Selain daripada itu, Profesor Dato’ Dr. Gs. Narimah turut memaklumkan akan usaha USM yang telah menandatangani persefahaman dengan banyak pihak termasuk industri untuk faedah pelajar-pelajarnya.

“Antara tujuan di sebalik kerjasama yang dijalankan tidak lain adalah untuk mewujudkan peluang serta persedian awal kepada pelajar-pelajar kita untuk menjalani latihan amali mereka di syarikat-syarikat yang terlibat di dalam serta luar negara,” kata beliau.

“Walaupun kadar kebolehpasaran siswazah kita telah melebihi 90% dari tahap nasional, universiti masih berusaha gigih untuk memastikan mahasiswa serta mahasiswi kita mendapat pekerjaan yang berkaitan dengan bidang pengajian mereka selepas bergraduasi,” tambah Profesor Dato’ Dr. Gs. Narimah.

Profesor Dato’ Dr. Gs. Narimah turut menggesa semua pelajar untuk memanfaatkan sepenuhnya kesempatan yang ada sebagai sebahagian daripada warga universiti tersohor ini untuk menyertai lebih daripada 100 persatuan dan pertubuhan yang ada termasuk aktiviti-aktiviti kesukarelawanan.

“Manfaatkanlah kemudahan yang ada dengan sebaik mungkin di mana ia akan memberi pengalaman baharu untuk diterokai apatah lagi dengan wajah terkini Kampus Kejuruteraan ini terutamanya kafetaria yang menawarkan perkhidmatan berkualiti, bilik MPPUSM dan transformasi untuk aktiviti anda sebagai pelajar,” kata beliau.

“Kelak, kampus ini akan turut mempunyai Gerbang Kejuruteraan yang sedang dalam fasa pembinaan yang merupakan kerjasama USM dengan Permodalan Kedah Berhad (PKB) demi pembangunan prasarana canggih untuk pelajar dan warga Kampusnya,” tambah Profesor Dato’ Dr. Gs. Narimah.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman