KEMARAU ENAM TAHUN BERAKHIR, EMAS MILIK BOLING EMPAT SEPASUKAN LELAKI DI SUKUM 2022
SERDANG, 22 September 2022 – Boling Tenpin Empat Sepasukan Lelaki USM menamatkan kemarau enam tahun mereka apabila berjaya menggenggam semula emas bagi kategori tersebut di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-44 hari ini.
Jurulatih pasukan, Profesor Madya Mohd Shafie Ariffin berkata, pungutan pingat pasukan boling tenpin pada tahun ini telah menyaksikan peningkatan cemerlang 500 peratus berbanding hanya satu pingat perak diperolehi melalui beregu wanita pada kejohanan tersebut di Universiti Malaysia Pahang sebelum ini.
“Apatah lagi dengan status atlet boling tenpin yang kebanyakan masih hijau, terutamanya tiga daripada atlet wanita kita yang baharu pertama kali beraksi di SUKUM dan kemenangan ini akan menjadi pemangkin kepada mereka untuk membina keyakinan diri yang lebih tinggi kelak,” kata Mohd Shafie.
“Saya juga yakin kita akan meraih lebih banyak pingat emas pada kejohanan akan datang memandangkan kita akan menjadi tuan rumah!” kata Mohd Shafie.
“Bagi pihak skuad boling tenpin, saya mewakili pengurus pasukan, Encik Abdul Rahman ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penyediaan Atlet Universiti, terutamanya Ketua Kontinjen USM iaitu Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria yang memberi peluang kepada kami untuk menyertai kejohanan kali ini,” tambah beliau.
Secara keseluruhan, selain sebutir pingat emas melalui kategori Empat Sepasukan Lelaki, pasukan boling tenpin USM turut berjaya menggondol dua pingat perak dan tiga gangsa di SUKUM yang berlangsung pada 17 hingga 24 September 2022 ini.
Pingat Perak pula diperolehi melalui kategori Beregu Wanita dan Trio Lelaki manakala pingat gangsa diperolehi melalui kategori Beregu Lelaki, Trio Wanita dan Empat Sepasukan Wanita.
USM telah menghantar seramai 10 orang atlet boling tenpin untuk bertanding melalui lima kategori iaitu Arief Ramadhan Juswa, Mohd Shafiq Mohd Sukari, Afnan Munir Abdul Manan, Mohd Nurul Azrol Mohd Yusof dan Rosliza Haron mewakili pasukan lelaki manakala pasukan wanita diwakili oleh Nor Zainah Bahari, Norashikin Alladdin, Noorharlizatul Asma Harun, Noraini Md Zain dan Che Suhailah A. Rahman.