Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

DOMINASI PINGPONG USM SUKAR DIGUGAT, EMPAT EMAS DALAM GENGGAMAN

DSC 4844

SERDANG, 24 September 2022 – Dominasi pasukan pingpong dari Universiti Sains Malaysia (USM) di kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) terbukti masih sukar digugat oleh pasukan-pasukan lawan dari seluruh universiti di Malaysia.

Skuad pingpong USM membuktikan kekuatan mereka sebagai pencabar di SUKUM ke-44 kali ini dengan memperolehi empat pingat emas daripada lima kategori yang dipertandingkan dalam acara tersebut.

Melalui kategori Pingpong Beregu Lelaki yang diwakili oleh Ahmad Shahir Zakaria dari Jabatan Pendaftar Kampus Kesihatan dan Mohd Mahyuddin Abdullah dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Kampus Kejuruteraan, USM memperolehi emas selepas menewaskan pasukan tuan rumah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

pingpongq

 

Bagi kategori Beregu Lelaki Veteren yang diwakili oleh Mohd Zaini Harun dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Kampus Induk dan Rozaimie Mohammad dari Pusat Pengajian Sains Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia pula, USM mengalahkan pasukan dari Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI).

Untuk kategori Perseorangan Lelaki yang diwakili oleh Mohd Taufik Zakaria dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Kampus Kesihatan, beliau menewaskan calon pemain dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Emas terakhir USM diperolehi melalui kategori Pasukan Bercampuran apabila menang mudah, sekali lagi ke atas pasukan tuan rumah UPM dengan tiga set berturut-turut dan seterusnya melayakkan pasukan ini untuk meraih pingat tersebut pada hari akhir kejohanan tersebut.

DSC 4433

DSC 4471

Pengurus Pasukan pingpong USM, Encik Mohd Rozaidi Mohd Razali dari Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset Kampus Kejuruteraan, melahirkan jutaan terima kasih beliau kepada Ketua Kontinjen, Profesor Dato' Dr. Nor Azazi Zakaria kerana telah memberikan sokongan penuh kepada atlet sepanjang perlawanan berlangsung.

“Kesudian Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi yang sanggup turun padang bersama-sama isteri bagi memberi sokongan beliau kepada pemain secara tidak langsung menjadi penguat semangat mereka untuk terus mempamerkan permainan yang terbaik ketika bertanding,” kata beliau.

DSC 4661

DSC 4536

“Selain daripada itu, saya secara peribadi juga ingin berterima kasih kepada Encik Idrus Bin Rapie, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, Kelab Kebajikan & Sukan Staf Kejuruteraan (KKSSK), Ketua-ketua Jabatan yang terlibat, Profesor Dr. Irfan Naufal Umar dari Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia serta para pemain atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang kejohanan berlangsung,” akhiri Rozaidi.

Selain empat emas, pasukan pingpong USM turut memperolehi satu gangsa bersama melalui kategori Beregu Wanita selepas Wan Zalawati Mohd Noor dari Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan dan Ng Guat Ding dari Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan Kampus Induk tewas kepada Universiti Malaya (UM) di peringkat separuh akhir.