Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

SKUAD OLAHRAGA USM CIPTA KEJUTAN, HADIAH SEMBILAN EMAS DI SUKUM 2022

DSC 0192

SERDANG, 21 September 2022 – Skuad Olahraga Universiti Sains Malaysia mencipta kejutan di Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) kali ke-44 hari ini apabila berjaya menghadiahkan sembilan emas kepada kontinjen universiti hari ini.

Apa yang lebih membanggakan, pungutan sembilan pingat emas yang diperolehi USM dalam acara ini melepasi sasaran awal yang ditetapkan ke atas skuad tersebut sebelum kejohanan berlangsung iaitu hanya enam pingat emas.

Kejayaan olahraga ini juga meletakkannya sebagai penyumbang pingat emas terbesar kepada kontinjen universiti di samping melonjakkan kedudukan USM ke tangga tiga teratas dalam pungutan pingat kejohanan selepas Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

USM mendominasi acara emas melalui acara larian 5000 M kategori Senior Veteran yang diwakili oleh Encik Jegatheesvaran a/l Ayasamy, 2000 M Senior Veteran yang diwakili oleh Profesor Madya Dr. Choong Yee Siew, 800 M serta 5000 M Veteran yang diwakili oleh Encik Khairuddin Daud dan 4x400 M Lelaki Veteran yang diwakili oleh Encik Shahil Ahmad Khosaini, Encik Norhelmi Othaman, Encik Jegatheesvaran a/l Ayasamy dan Encik Khairuddin Daud.

DSC 0039

DSC 0048

Selain daripada itu, sebutir lagi pingat emas USM dalam olahraga diperolehi melalui acara Lempar Cakera Veteran yang diwakili oleh Dr. Sharifah Zahura Syed Abdullah.

Timbalan Pendaftar Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Encik Mohd Rashid Abdul Rejab selaku Pengurus Pasukan Olahraga USM menyampaikan ucapan tahniah beliau kepada semua atlet yang telah berhempas pulas sejak sebelum kejohanan berlangsung lagi untuk berlatih dan sentiasa bersemangat demi universiti.

“Terima kasih juga kepada Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Ketua Kontinjen Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi Zakaria di atas kepercayaan serta tanggungjawab yang diberikan.

DSC 0322 1

DSC 0538

“Tidak lupa kepada Pendaftar, Dato’ Dr. Musa Ali, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi Encik Idrus Rapie serta pegawai-pegawai beliau, jurulatih pasukan Encik Jegatheesvaran a/l Ayasamy, Cik Salasiah Zakaria, Sekretariat SUKUM serta semua atas sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pasukan kami,” kata Rashid.

“Apa yang lebih menarik bagi saya dalam kejohanan kali ini bukan sahaja tentang semangat luar biasa yang ditunjukkan atlet semata, tetapi juga sokongan padu yang diberikan oleh Ketua Kontinjen bersama-sama isteri yang sentiasa berada di lokasi perlawanan untuk memberi sokongan.

“Sokongan Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi dan isteri beliau semestinya memainkan peranan penting dalam menjadi menyuntik semangat atlet untuk memberikan yang terbaik ketika bertanding!” tambah beliau.

Secara keseluruhan, 20 pingat berjaya diperolehi USM melalui acara olahraga iaitu sembilan pingat emas, tujuh perak dan empat gangsa.